Isu penemuan tulang babi di dalam kolam ikan patin di Batu Bajah, Perak yang sedang tular melalui aplikasi WhatsApp adalah isu lama.

Jabatan Perikanan dalam kenyataan hari ini berkata, jabatan itu telah pun mengambil tindakan sewajarnya terhadap kes yang berlaku pada tahun 2014 itu dan premis tersebut telah ditutup.

"Hasil siasatan terkini, pihak jabatan mendapati premis tersebut tidak beroperasi dan tiada aktiviti dijalankan di kawasan tersebut," menurut kenyataan itu.

Jabatan Perikanan akan komited menjalankan pemantauan aktiviti ternakan ikan di Perak bagi memastikan pengeluaran ikan tempatan mematuhi piawaian keselamatan makanan negara termasuk melalui program pemantauan Asid Deosiribonukleik (DNA) khinzir oleh Unit Biosekuriti, Jabatan Perikanan Negeri Perak.

-- BERNAMA