JAIPUR: Seorang lelaki hidup semula ketika upacara pembakaran mayat hendak dilakukan ke atasnya.

Media tempatan melaporkan Rohitash Kumar, 25, yang mengalami masalah pertuturan dan pendengaran pada mulanya jatuh sakit dan dibawa ke sebuah hospital di Jhunjhunu di negeri barat Rajasthan di India pada Khamis lalu.

"Dia kemudiannya diserang sawan dan doktor mengumumkan kematiannya sejurus tiba di hospital. Doktor berkenaan juga tidak melakukan post-mortem mengikut prosedur ditetapkan dan terus menghantar jasad lelaki itu ke bilik mayat," jelas laporan itu lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perubatan di kemudahan kesihatan itu, D Singh berkata, doktor berkenaan menyediakan laporan post-mortem tanpa membedah 'mayatnya'.

"Sebelum api dinyalakan, tubuh Kumar bergerak secara tiba-tiba. Dia kembali hidup dan bernafas," ujarnya.

Dia dihantar semula ke unit kecemasan buat kali kedua, namun disahkan meninggal dunia pada Jumaat.

Susulan insiden itu, pihak berkuasa telah menggantung tugas tiga doktor dan polis turut melancarkan siasatan lanjut. - Sinar Harian memetik agensi