REMBAU: Pengunjung atau pendaki yang menjalankan aktiviti pendakian di Taman Eko-Rimba dan trek pendakian di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan perlu mendapatkan permit dalam bentuk gelang tangan sebelum menjalankan aktiviti pendakian.

Antara trek pendakian yang dikenakan bayaran permit tersebut ialah Gunung Datuk, Gunung Angsi, Gunung Besar Hantu, Bukit Batu Sawa, Bukit Baginda dan Bukit Senaling.

Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan memaklumkan, pendaki boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika gagal berbuat demikian.

Menurutnya, tindakan tersebut adalah tertakluk di bawah Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984.

"Bayaran permit masuk adalah sebanyak RM5 untuk warganegara dan RM20 untuk bukan warganegara," katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Ujar kenyataan itu, dalam menguatkuasakan pembelian permit masuk itu, satu aktiviti penguatkuasaan telah diadakan di Taman Eko-Rimba Gunung Datuk.

Katanya, para pendaki telah disemak pemakaian wristband dan diberi penerangan oleh kakitangan Pejabat Hutan Daerah Negeri Sembilan Barat.

Pada masa sama katanya, pendaki diminta menguar-uarkan kepada rakan-rakan dan media sosial berkenaan kewajipan membeli dan memakai wristband sebelum menjalankan aktiviti pendakian. - Sinar Harian