Ringkasan AI
- Lebih 60,000 permohonan Bantuan Subsidi Madani diterima sejak 28 Mei lalu, dengan 30,000 di antaranya sudah diluluskan pada 3 Jun, menerima RM200 sebulan.
- Budi Individu terbuka kepada pemilik kenderaan diesel berpendapatan tahunan kurang RM100,000. Program ini terbuka hanya untuk warganegara Malaysia.
- Sesi libat urus dihadiri oleh Menteri Kewangan II dan Menteri Pertanian serta Keterjaminan Makanan, bertujuan menjelaskan kriteria dan tujuan penyelarasan subsidi diesel serta memastikan petani dan pekebun kecil layak menerima subsidi Budi Agri-Komoditi.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, daripada jumlah itu sebanyak 30,000 permohonan telah diluluskan setakat 3 Jun dan bakal menerima subsidi bulanan RM200 ke dalam akaun mereka, hari ini.
Menurutnya, pemilik kenderaan diesel yang memenuhi kriteria digalakkan membuat permohonan dan pendaftaran dibuka secara berterusan dengan anggaran 300,000 orang layak menerima manfaat tersebut.
“Budi Individu terbuka kepada mereka yang pendapatan tahunan kurang RM100,000, bermakna gaji sebulan RM8,000 layak dapat bantuan kerana subsidi ini membabitkan penyelarasan menyeluruh.
“Program ini hanya untuk warganegara Malaysia. Ada kriteria bukan untuk kenderaan mewah, namun jika yang sudah berusia 10 tahun, ada diberikan kelonggaran juga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Hari Terbuka Agri-Komoditi yang turut dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di MARDI Klang pada Sabtu.
Pada program itu, Amir Hamzah dan Mohamad meluangkan masa hampir dua jam melakukan sesi libat urus dengan 150 petani dan pekebun kecil sekitar daerah Klang.
Budi Madani merupakan usaha kerajaan memastikan peruntukan subsidi diesel disasarkan kepada golongan yang layak.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, sesi libat urus akan diteruskan bagi membuka sesi soal jawab dan penjelasan untuk orang awam lebih memahami tujuan penyelarasan subsidi dilakukan oleh kerajaan.
“Banyak ketirisan diesel berlaku menyebabkan peruntukan subsidi bagi tujuan itu pergi ke tempat lain atau sektor yang tidak berhak.
“Hasil penerangan tersebut, semua setuju penyelarasan diesel perlu dilakukan bagi mengelak kerugian wang rakyat secara berterusan.
“Cuma ada sesetengah pihak tidak tahu cara permohonan, jadi sesi libat urus ini kita adakan sesi soal jawab dan terangkan beberapa cara serta kategori yang boleh dibuat permohonan,” katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata, sesi penerangan itu penting bagi merungkai kekeliruan memandangkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan banyak terlibat dalam penyelarasan subsidi diesel.
“Kekeliruan di peringkat awal adalah perkara biasa kerana ada sesetengah pekebun kecil kurang faham cara permohonan dan prosedurnya.
“Namun saya yakin, permasalahan itu mampu diselesaikan dalam sebulan dua ini dan akan menjadi lancar serta stabil dalam masa terdekat,” katanya.
Pada masa sama, beliau memberitahu, pihaknya memberi jaminan semua petani dan pekebun kecil yang menggunakan kenderaan berkaitan pertanian layak menerima subsidi bersasar di bawah Budi Agri-Komoditi.
“Mereka yang terlibat dengan pertanian termasuk menggunakan lori untuk bawa padi ke kilang dan kenderaan lain yang membawa ikan serta hasil pertanian, semuanya akan dapat,” katanya. - Sinar Harian