KUALA LUMPUR: Bantuan tunai kepada rakyat yang memerlukan merupakan antara langkah efektif bagi mengurangkan kesan penyasaran subsidi dan peningkatan kos sara hidup.

Profesor Ekonomi dan Pengarah Program Pengajian Ekonomi, Institut Jeffrey Cheah Asia Tenggara, Universiti Sunway, Yeah Kim Leng berkata, bantuan tunai tambahan daripada kerajaan kepada rakyat memberikan fleksibiliti kepada mereka, sama ada menggunakan wang itu untuk pengangkutan atau perkara lain seperti kesihatan, pendidikan dan keluarga.

Jelasnya, bantuan tunai kerajaan ini menambahkan pendapatan bulanan isi rumah untuk menampung kenaikan harga barang atau perkhidmatan asas yang kian meningkat saban tahun ekoran beberapa faktor ekonomi yang tidak boleh dielakkan.

“Cabaran di sini adalah untuk memastikan orang ramai mengetahui tentang matlamat, dan yang penting mekanismenya. Golongan sasar perlu memahami yang mereka tidak akan terlalu terkesan, terutamanya kerana terdapat sokongan berterusan dalam bentuk subsidi yang disasarkan.

“Subsidi bersasar bukanlah bermakna mereka perlu membelanjakan wang untuk bahan api, seperti ‘fleet card’ atau kupon petrol tetapi mereka mempunyai pendapatan untuk mengimbangi kenaikan harga bahan api.

“Sebaliknya, mereka boleh menggunakannya untuk perbelanjaan lain. Maka, sudah tentu penjimatan daripada rasionalisasi subsidi diesel boleh digunakan untuk banyak perkara lain yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan negara dan daya tahan isi rumah.

“Ini termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan, infrastruktur dan semua perkara berkaitan,” katanya.

Paling penting, tegasnya sekiranya rasionalisasi itu berjalan lancar dan mencapai matlamatnya, ia akan mengukuhkan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

Tambah Kim Leng, rasionalisasi subsidi bahan api juga merupakan antara strategi penting meningkatkan ketahanan fiskal negara.

Jelasnya, sekiranya negara mempunyai ketahanan fiskal, ia membantu dalam menghadapi sebarang bentuk kejutan ekonomi pada masa akan datang.

“Jika kerajaan mempunyai kedudukan fiskal yang lebih kukuh, maka ia mampu, bukan sahaja untuk meningkatkan taraf hidup negara malah lebih penting, melindungi negara daripada kejutan ekonomi masa depan.

“Dari segi itu, selain meningkatkan hasil, rasionalisasi subsidi ini adalah salah satu komponen kritikal meningkatkan kecekapan pengurusan perbelanjaan negara… ini adalah untuk memastikan kerajaan boleh berbelanja lebih untuk kegunaan produktif tanpa perlu bergantung kepada defisit (tambahan hutang) berlebihan.

“Ini membolehkan kerajaan menyambung usahanya untuk meniruskan lagi defisit fiskal daripada 4.3 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang disasarkan untuk tahun ini kepada 3 peratus dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Agenda AWANI yang disiarkan di Astro AWANI pada Rabu.

Untuk mendaftar BUDI MADANI, sila layari https://budimadani.gov.my atau hadir di mana-mana cawangan LHDN yang berdekatan.