PUTRAJAYA: Penangguhan pemilihan melibatkan 2,245 pegawai perubatan yang dijadual hari ini dibuat susulan gangguan teknikal yang serius berpunca daripada akses luar biasa terhadap sistem ePlacement.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, berdasarkan log rangkaian trafik pada 27 Februari lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati ramai pegawai yang telah mengakses rangkaian itu melalui pelbagai peranti, termasuk  melalui kaedah yang tidak sepatutnya.

Bagaimanapun, Dr. Muhammad Radzi menegaskan gangguan teknikal berkenaan tiada kaitan dengan insiden serangan siber.

"Laporan capaian penuh pada hari kejadian menunjukkan bahawa terdapat lebih 19 juta hit dan mengakibatkan pangkalan data sistem tidak dapat dicapai. Ini merupakan salah satu faktor besar yang menyumbang kepada penangguhan pemilihan penempatan ini.

"Gangguan teknikal bukan akibat serangan siber. Jabatan Digital Negara dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) telah dilibatkan dan tiada insiden pencerobohan atau keselamatan siber telah berlaku dan perkara ini telah dilaporkan kepada  CyberSecurity Malaysia (CSM)," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Beliau menambah, akibat masalah gangguan teknikal tersebut, statistik permohonan juga menunjukkan lebihan penempatan yang diluluskan berbanding kuota asal, termasuk kurang satu peratus dipenuhi di Sabah dan Sarawak.

Keadaan tersebut, katanya menyebabkan data yang diperolehi langsung tidak boleh digunakan.

Pada 27 Februari 2025, doktor-doktor kontrak telah menjalani proses e-penempatan dan melapor diri ke Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) masing-masing.

Namun pada 6 Mac 2025, mereka dimaklumkan bahawa ia dibatalkan tanpa sebarang penjelasan.

Bagaimanapun pada 17 Mac 2025, mereka sekali lagi diberitahu bahawa e-penempatan akan dijadualkan semula.