Beberapa langkah penambahbaikan di Hospital Kajang akan segera dilaksanakan bagi memastikan keselesaan petugas serta pesakit, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Langkah itu juga, katanya, bagi membolehkan hospital berkenaan berupaya menampung permintaan pesakit sama ada di wad atau di unit rawatan pesakit luar.

Beliau berkata antara langkah itu adalah untuk membaik pulih pendingin hawa serta menambah pendingin hawa di kawasan sesuai terutamanya di klinik rawatan dan dewan.

Dalam lawatan mengejut ke hospital berkenaan hari ini, Najib turut mahu tahap keselamatan di hospital itu dipertingkatkan seperti menaik taraf pagar kepada tembok dan beberapa langkah lain.

"Walaupun hospital ini mempunyai kepakaran dan kelengkapan mencukupi, namun masih boleh ditambah baik dari segi keselamatan dan keselesaan untuk staf dan pesakit, kapasitinya untuk menampung pesakit sama ada di wad atau di unit rawatan pesakit luar dan beberapa perkara lagi," kata Najib dalam catatan terbaharunya di laman Facebook.

Najib berkata hampir kesemua bangunan di hospital itu satu tingkat dan dari segi penggunaan tanah juga tidak optimum.


Justeru, menurutnya, kerajaan sedia mempertimbangkan apa-apa cadangan untuk mengubah suai dan menaik taraf hospital yang telah dibina pada tahun 1889 itu.

"Kesemua itu penting agar kita dapat memberi perkhidmatan kesihatan berkualiti dalam keadaan selesa dan selamat kepada mereka yang memerlukannya," katanya.

Pada tahun lepas, kerajaan meluluskan peruntukan RM10 juta untuk menambah 30 katil pesakit, satu wad dan dua bilik bedah.

"Untuk jangka masa panjang, tidak dapat dielakkan penaiktarafan hospital ini bagi memenuhi permintaan penduduk Kajang memandangkan populasi di sekitar telah meningkat banyak sejak diasaskan," kata Perdana Menteri.