Penafian yang dibuat oleh syarikat perkhidmatan dan penerokaan minyak PetroSaudi International (PSI) berhubung salah laku urus niaga dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dapat menjawab segala tuduhan negatif yang dilemparkan kepada syarikat itu.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, kenyataan oleh syarikat itu akan menjawab pelbagai tuduhan berhubung transaksi pelaburan yang melibatkan dana daripada 1MDB kepada syarikat berkenaan.

Mengulas perkara itu, Khairy berkata Ketua Audit Negara perlu menyiasat dakwaan tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terbukti wujud penyelewengan dalam isu berkenaan.

"Penafian yang dibuat oleh PetroSaudi, saya harap betul sebab ia dapat menjawab pelbagai tuduhan yang telah dibuat berkenaan satu transaksi pelaburan yang melibatkan dana daripada 1MDB kepada syarikat PetroSaudi.

"Walau bagaimanapun, saya harap perkara tersebut dapat disiasat oleh Ketua Audit Negara dan sekiranya ada bukti penyelewengan atau ada unsur kepincangan pengurusan, maka tidak boleh ada siapa yang dilindungi."

Katanya lagi, laporan berhubung hasil siasatan yang dilakukan oleh Ketua Audit Negara perlu didedahkan kerana isu tersebut sudah menjadi kepentingan umum.

"Kita harap perkara tersebut dapat didedahkan dalam siasatan yang bakal dibuat oleh Ketua Audit Negara dan tindakan seterusnya dapat diambil sebab perkara ini telah menjadi satu kepentingan umum.

"Kita juga tidak mahu isu 1MDB terus jadi bahan spekulasi," kata Khairy.

Khairy berkata demikian ketika mengulas kenyataan oleh syarikat PetroSaudi semalam yang menolak kritikan di internet mengenai jalinan usahasama 1MDB dengannya.

Kenyataan itu berbunyi sebarang kenyataan mengenai salah laku dalam dakwaan mengenai perkongsian adalah palsu semata-mata dan semua modal yang dilaburkan oleh 1MDB sudah dikembalikan dengan keuntungan.

Khairy berkata demikian selepas merasmikan program Mountain Bike Jamboree Balik Pulau, Pulau Pinang pada Sabtu.

Bagaimanapun, kata Khairy, pihak pengurusan 1MDB harus diberi peluang untuk meneruskan perancangan mereka sekiranya tiada apa-apa bukti yang menunjukkan berlaku penyelewengan.

Sementara itu, Khairy memaklumkan bahawa perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan satu tarikh yang akan dijadikan Hari Sukan Negara yang mana akan disambut pada setiap tahun bagi menyuntik semangat kesukanan dalam kalangan rakyat Malaysia.