KUALA LUMPUR: Pemulihan trafik penumpang udara Malaysia dijangka meningkat pada separuh kedua (2H) 2023 untuk mencapai 85 peratus daripada tahap sebelum pandemik bagi setahun penuh, kata MIDF Research.

Sektor bukan ASEAN mempunyai prospek pertumbuhan yang besar apabila lebih banyak laluan dibuka semula dan kekerapan penerbangan meningkat, katanya dalam satu nota pada Selasa.

Nota itu diterbitkan berikutan pengumuman Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bahawa lapangan terbang di negara ini merekodkan 6.8 juta jumlah pergerakan penumpang pada Mei 2023, sekali gus melepasi 80 peratus tahap sebelum pandemik buat kali pertama.

MIDF Research menyifatkan pemulihan trafik, pada 86.2 peratus berbanding pergerakan penumpang Mei 2019 (domestik: 99 peratus, antarabangsa: 74 peratus), sebagai "mengagumkan".

Walau bagaimanapun ia mengekalkan pandangan "neutral" pada sektor penerbangan, dan tidak menyemak semula anggaran trafik penumpangnya.

Ia turut menyatakan bahawa angka pemulihan trafik keseluruhannya sebanyak 85 peratus untuk 2023, dengan 90 peratus untuk domestik dan 80 peratus untuk antarabangsa.

Potensi peningkatan angka itu disebabkan syarikat penerbangan tempatan meningkatkan semula jumlah pesawat mereka dan kedatangan semula pelancong China yang lebih cepat daripada jangkaan, kata firma penyelidikan itu.

MIDF Research mengekalkan saranan "beli" untuk Capital A Bhd (harga sasaran: RM1.00) dan "neutral" pada MAHB (harga sasaran: RM7.45)

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, perjalanan udara dijangka terus pulih apabila syarikat penerbangan mengembalikan semula kapasiti ke tahap sebelum pandemik.

"Sejak pembukaan semula sempadan Malaysia pada April 2022, serta negara serantau Asia Pasifik yang lain, kami telah melihat pemulihan yang kukuh untuk trafik udara.

"Pemulihan trafik antarabangsa (termasuk Asean) terus mendapat daya tarikan kerana syarikat penerbangan domestik -- Malaysia Airlines dan Capital A -- memulihkan kembali kapasiti antarabangsa mereka kepada 100 peratus menjelang akhir tahun, begitu juga untuk syarikat penerbangan asing," katanya dalam nota berasingan.

HLIB Research juga berkata, MAHB mengunjurkan kadar pemulihan kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan yang dirancang untuk kekal melebihi 90 peratus untuk segmen domestik (pada masa ini 94.3 peratus) dan melepasi 80 peratus untuk segmen antarabangsa (kini 76.4 peratus) menjelang akhir tahun.

Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan "overweight" pada sektor penerbangan dengan saranan "beli" pada Capital A (harga sasaran: RM1.15) dan MAHB (harga sasaran: RM8.50). - BERNAMA