KUALA LUMPUR: Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah atau Lapangan Terbang Subang (SZB) mencatat peningkatan trafik penumpang antarabangsa sebanyak 25 peratus pada Ogos 2024, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, MAHB berkata, penyambungan semula operasi jet selepas sekian lama terhenti di SZB telah meraih maklum balas positif, meningkatkan kesalinghubungan kepada pilihan destinasi domestik dan serantau yang lebih luas.

"Lokasi strategik lapangan terbang yang berhampiran pusat bandar turut menawarkan alternatif perjalanan yang lebih mudah diakses dan cekap," katanya.

Menurut operator lapangan terbang itu, SZB menerima 21,096 penumpang antarabangsa pada Ogos 2024, meningkat berbanding 16,900 pada bulan sebelumnya.

Pada masa ini, tiga syarikat penerbangan tempatan dan dua syarikat penerbangan antarabangsa menawarkan perkhidmatan di SZB, katanya.

"Trafik domestik di SZB pada bulan yang sama berjumlah 83,904 penumpang, menyumbang kepada jumlah keseluruhan penumpang sebanyak 105,000, melibatkan pertumbuhan 1.3 peratus berbanding bulan terdahulu," katanya.

Secara keseluruhan, kumpulan itu meraih 12.3 juta pergerakan penumpang pada Ogos 2024, mengekalkan prestasi teguh melebihi 12 juta penumpang untuk bulan kedua berturut-turut.

"Ini mewakili pemulihan 96.1 peratus berbanding tahap prapandemik pada 2019.

"Pertumbuhan mampan itu disumbangkan oleh pelbagai faktor, antaranya perjalanan musim panas, pelancaran syarikat penerbangan dan laluan baharu, peningkatan kekerapan penerbangan dan penyambungan semula operasi jet di SZB," kata MAHB. - BERNAMA