KUALA LUMPUR: Tidak banyak negara mengambil pendirian seperti Malaysia yang lantang menyuarakan isu kekejaman Zionis terhadap rakyat Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan Malaysia sememangnya tegas dalam isu tersebut.

"Janganlah menggesa kerajaan membuat lebih daripada itu kerana semasa Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan, mereka juga tidak berbuat demikian.

“Semasa rakan-rakan, seperti Sik pun tahu, mereka tidak pun buat begitu malah mereka membenarkan (kapal Israel) Zim (Zim Integrated Shipping Services) berlabuh.

“Kita tidak mengizinkan malah kita ambil tindakan lebih daripada itu. Cuma sekarang ini ada (pembangkang) bangkitkan soal syarikat-syarikat.

“Puluhan, malah ratusan syarikat yang ada kerjasama dagangan dengan Israel yang berdagang dengan semua negara lain termasuk Malaysia, dan semua negeri termasuk negeri yang diperintah oleh pembangkang.

“Jadi kita kena ambil keputusan yang konsisten. Apakah keputusan kita ini melibatkan bantahan terhadap negara kerana penjualan itu dengan izin negara?

“Tidak ada penjualan kelengkapan tentera, yang boleh berlaku tanpa izin negara, ini yang kita buat,” katanya.

Tegas Perdana Menteri, beliau juga bertanggungjawab bukan hanya untuk menjaga keamanan tetapi kepentingan rakyat.

Katanya lagi, puluhan syarikat yang mempunyai kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan Israel melakukan perdagangan di Malaysia namun tidak dikritik.

Justeru, tegas Perdana Menteri, keputusan mengkritik, terutamanya berkaitan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dengan BlackRock tidak harus retorik untuk menarik perhatian orang ramai.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap perbahasan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) di Dewan Rakyat pada Isnin susulan sesi penerangan khas Perdana Menteri berkaitan perkembangan terbaharu isu Palestin.

Dalam perbahasan beliau, Ahmad Tarmizi mengkritik tindakan kerajaan yang meneruskan perjanjian dengan BlackRock tapi pada masa sama lantang mengkritik kekejaman Israel.