KUALA LUMPUR : Wanita, sentiasa tunjukkan mereka gagah, sukar untuk melihat mereka lelah walau hidup didatangi pelbagai masalah, segalanya dilembutkan dengan senyuman di wajah.

Nenek, ibu, kakak, isteri, antara wanita yang pernah menghiasi kehidupan ramai orang dan tidak dinafikan, jasa mereka tidak terkira banyaknya.

Sempena Hari Wanita Sedunia 2021 yang disambut hari ini, pemimpin-pemimpin negara tidak ketinggalan menterjemahkan rasa cinta dan kasih mereka terhadap kaum wanita yang selama ini menjadi tulang belakang bukan sahaja pada kejayaan mereka bahkan kepada agama, bangsa dan negara.

Seperti orang lain, pembesar-pembesar negara turut menghargai jasa dan pengorbanan kaum wanita yang disifatkan meraka terlalu besar dan tidak mampu dibalas dengan wang ringgit.

BACA: Hari Wanita: Sayang diri sendiri, jadi insan hebat dan bahagia - Permaisuri Agong

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam ciapan Twitternya mengimbau semula kenangannya bersama arwah ibunya, Tun Suhailah Mohamed Noah.

“Allahyarhamah Tun Suhailah Noah. Cinta pertama, tempat mengadu, teman berbual, guru terawal, peniup semangat, sumber inspirasi - inilah wanita terhebat saya sampai bila-bila.

“Kasih dan rindu yang tiada penghujung moga Allah SWT sentiasa merahmati bonda,” ciapnya pada Isnin.


Allahyarham Suhailah meninggal dunia pada Oktober 2014 di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya ketika Hishammuddin pada waktu itu memegang jawatan Menteri Pertahanan.

Dalam pada itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad turut menyampaikan ucapan istimewa buat wanita dalam laman Facebook beliau.

“Menjadi harapan saya agar kita semua berusaha ke arah pemerkasaan dan kesaksamaan wanita, bukan hanya pada hari ini, tetapi ianya merupakan satu usaha yang berterusan.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas segala usaha, walau sekecil mana pun yang telah menyumbang kepada peningkatan prestasi wanita di Malaysia dan di seluruh dunia.
“Selamat Hari Wanita Sedunia!” tulis beliau.

 
Sumber Facebook DrNorainiAhmad

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri juga menitipkan ucapan untuk wanita di Facebook beliau.

“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Wanita kepada wanita di seluruh dunia.Wanita adalah penggerak utama pembangunan negara dan pembangunan institusi keluarga serta memperkukuhkan masyarakat prihatin dan penyayang.

“Selamat Menyambut Hari Wanita Sedunia 2021!” katanya.

 
Sumber Facebook hajahnancyshukri

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hari ini adalah hari mengiktiraf dan menyanjung kepentingan peranan wanita dalam kehidupan termasuk usaha pembangunan negara dan tamadun.

“Dalam usaha kita memberdaya wanita, mestilah digarap segala imaginasi dan kekuatan bersandarkan kesedaran bahawa tanggungjawab untuk memperkasa kaum hawa adalah tanggungjawab kita bersama.

“Peluang harus dibuka seluas-luasnya untuk wanita maju dan segala bentuk diskriminasi harus diakhiri sekarang. Mendepani cabaran semasa, marilah kita bangkit sebagai satu bangsa yang bersatu hati.

Wanita waja negara!” ujarnya.

 
Sumber Facebook MohamedAzminAli

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sememangnya terkenal aktif di Facebook berkata, jika wanita diberikan hak dan peluang, banyak yang mampu dikecapi wanita dalam semua bidang.

“Ketika saya Perdana Menteri dahulu, saya bersama BN, barisan kepimpinan kerajaan dan penjawat awam berusaha menjamin hak dan peluang untuk golongan wanita.

"Bukan sahaja sektor swasta malah dititikberatkan dan dilaksanakan dalam sektor awam. Saya tahu banyak lagi yang boleh diusahakan. Saya setuju.

"Saya percaya kita semua perlu tingkatkan gerak kerja dan bergerak ke arah matlamat dan impian yang sama. Menjamin hak dan peluang bagi wanita wajib menjadi agenda utama hari ini,” katanya.

 
Sumber Facebook najibrazak