KUALA TERENGGANU: Seorang pemilik syarikat mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memalsukan dokumen borang pendaftaran pekerja berkaitan Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) 1.0.

Tertuduh Ezza Suria Muda, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah memalsukan satu dokumen iaitu borang pendaftaran pekerja di bawah Peraturan-peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971 (Peraturan 10, 12 dan 12a) bertarikh 3 November dan 23 November 2020.

Borang tersebut mengandungi senarai nama pekerja ESM Suria Enterprise dengan niat supaya dokumen palsu tersebut digunakan bagi tujuan hendak menipu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur, Hulu Terengganu pada November 2020.

PENJANA Kerjaya 1.0 | Pemilik syarikat mengaku tidak bersalah palsukan dokumen


Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Oktober depan bagi sebutan semula kes.

Selain itu mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada SPRM Terengganu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar.

Terdahulu SPRM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melancarkan Ops Hire bagi menyiasat isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana Insentif Program Penjana Kerjaya 1.0 (PenjanaKerjaya) di beberapa negeri.