KUALA TERENGGANU: Seorang pemilik syarikat didenda  sebanyak RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dua pertuduhan memalsukan dokumen berkaitan Dana Insentif Program Penjana Kerjaya 1.0 (Penjana Kerjaya).

Hukuman itu diputuskan Hakim Mohd Azhar Othman selepas tertuduh, Ezza Suria Muda, 38, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memalsukan Borang Pendaftaran Pekerja di bawah Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971 (peraturan 10, 12 dan 12A) bertarikh 3 November dan 23 November 2020.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur, Hulu Terengganu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh  didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.

Bagi pertuduhan pilihan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 manakala bagi pertuduhan kedua denda sebanyak RM15,000.

Tertuduh juga turut berdepan hukuman penjara dua  dan tiga bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Selain itu mahkamah turut mengarahkan wang sebanyak RM309,000 di dalam akaun syarikat tertuduh dilucut hak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa  Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh.

Manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Syed Azimal Amir dan Ahmad Fauzi Mohamed.