KUALA LUMPUR: Polis selesai merakam keterangan 11 individu termasuk bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mashitah Ibrahim dan suaminya berhubung sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, selain dua individu itu, polis turut mengambil keterangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta wartawan portal tempatan.

"Kita sudah merakam keterangan 11 individu termasuk bekas timbalan menteri dan suaminya, seorang ahli perniagaan," katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.

Razarudin berkata, siasatan ketika ini tertumpu kepada peranan seorang Datuk Seri yang disyaki menjadi dalang utama dalam mengenal pasti pelabur yang berpotensi melabur di Myanmar.

Menurutnya, pada masa sama, polis turut menyiasat peranan yang dimainkan lelaki berkenaan untuk mengambil kesempatan menjana keuntungan daripada pelabur 'berpotensi'.

"Selain itu, kita sedang mengenal pasti hubungan antara beberapa individu dan dua ahli perniagaan rakyat China," katanya.

Sebelum ini, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyerahkan laporan kepada SPRM untuk menyiasat pembabitan seorang ahli politik di negara ini bersama suaminya membabitkan satu kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Modus operandi sindiket itu adalah memperdaya mangsa secara dalam talian dengan menawarkan pekerjaan yang menarik sebelum memaksa mangsa bekerja sebagai 'scammer' judi dalam talian.

Baru-baru ini juga tular satu video di media sosial mengenai dakwaan pembongkaran sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar bertajuk Neraka Perbatasan: Jejak Mafia Judi Online dan Perbudakan Digital di Asia yang diterbitkan di Indonesia.

Dalam pada itu, dalam kenyataan di Facebook, Mashitah menafikan beliau terbabit dalam kegiatan itu.

Berikutan itu, Mashitah juga dilaporkan sudah membuat laporan polis berkaitan tuduhan berkenaan selain telah memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.