Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, perkara itu diputuskan berdasarkan cadangan Jabatan Peguam Negara selain hasil perbincangan dalam mesyuarat penyelarasan tindakan Jenayah Terancang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) pada Jumaat.
Menurutnya, salah seorang daripada suspek yang merupakan pekerja resort milik GISB akan didakwa atas dua pertuduhan melakukan jenayah seksual ke atas seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.
"Sementara itu, lima lagi individu termasuk dua yang masih bebas akan didakwa di mahkamah sama atas kesalahan pemerdagangan manusia.
"Pertuduhan itu akan dikemukakan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan," katanya.
Razarudin menjelaskan, kes itu melibatkan empat mangsa termasuk tiga wanita yang dipercayai menjadi eksploitasi kerja paksa dengan cara ancaman.
Berdasarkan siasatan, katanya polis mendapati mangsa diekploitasi dengan cara perkahwinan paksa dan dijodohkan dengan peringkat atasan, tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit dan dihalang berkomunikasi dengan dunia luar.
"Selain itu, pasangan hanya dibenarkan berjumpa satu atau dua kali dalam tempoh sebulan dan kanak-kanak lima tahun ke atas akan dipisahkan daripada ibu atau bapa serta ditempatkan di rumah amal," katanya lagi.