AYER KEROH: Jawatankuasa Fatwa Melaka memutuskan ajaran dan kepercayaan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd adalah sesat, sama seperti ajaran dan kepercayaan al-Arqam yang telah diwartakan pada tahun 1994.


Ringkasan AI
  • Jawatankuasa Fatwa Melaka memutuskan bahawa ajaran dan kepercayaan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd adalah sesat, mirip kepada ajaran al-Arqam yang telah diharamkan pada tahun 1994. Keputusan ini dibuat pada 3 Oktober 2024 setelah mendapati elemen-elemen kumpulan tersebut bertentangan dengan hukum syarak.
  • Mufti Negeri Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil, menyatakan bahawa terdapat persamaan dalam kepercayaan dan amalan GISB dengan al-Arqam, termasuk wirid dan amalan tertentu yang telah diharamkan sebelum ini. Ini menunjukkan kesinambungan ajaran yang tidak selari dengan prinsip Islam.
  • Fatwa ini akan diwartakan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dan dijadikan garis panduan untuk tindakan tegas oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan pihak berkuasa lain. Tiga negeri lain Perlis, Selangor, dan Pahang juga telah mengisytiharkan GISB sebagai kumpulan sesat.


Mufti Negeri, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa yang berlangsung pada 3 Oktober lalu selepas mendapati beberapa elemen kumpulan itu bertentangan dengan hukum syarak.

"Kita melihat ada beberapa perkara dalam GISB iaitu ada juga serpihan-serpihan daripada kumpulan Al-Arqam, khususnya daripada keluarga Allahyarham Ashaari Muhammad yang mempunyai amalan, wirid dan sebagainya yang menjurus kepada ikutan fatwa al-Arqam yang telah diharamkan oleh pihak berkuasa agama sebelum ini.

"Jadi perkara ini kami mengambil ketetapan bahawa ada persamaan dari sudut kepercayaan, amalan dan juga pegangan mereka dan kita telah memutuskan iaitu apa yang dibawa oleh kumpulan GISB ini adalah bertentangan dengan hukum syarak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Seminar Pendidikan Fatwa Kontemporari Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, katanya, berdasarkan laporan-laporan yang dibentangkan pada muzakarah berkenaan, jelas mendapati terdapat persamaan amalan yang seperti ajaran al-Arqam dan Rufaqa' yang telah difatwa haram di Melaka pada tahun 1994 dan 2007 lalu.

Jelasnya, fatwa yang bakal diwartakan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim itu akan menjadi garis panduan baharu, khususnya kepada jabatan penguatkuasaan dalam mengambil tindakan yang lebih tegas.

"Kita sudah putuskan dalam mesyuarat, cuma prosesnya daripada sudut pentadbiran akan disahkan di peringkat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sebelum mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

"Bagi peringkat penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan pihak polis sedang menjalankan tindakan dan saya dimaklumkan ia kini di peringkat pendakwaan yang mana kes sedang berjalan di Mahkamah Syariah,” tambahnya.

Setakat ini tiga negeri telah mengisytiharkan amalan dan kepercayaan GISB sebagai sesat iaitu Perlis, Selangor, dan Pahang.