Malaysia perlu mengutamakan pengawalan penularan jangkitan COVID-19 tempatan sebelum membuka semula pintu sempadan negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pembukaan sempadan negara juga bergantung situasi global semasa dan perlu dilakukan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) tertentu.

"Ketika ini kita mendahulukan kes penularan tempatan. Jadi kita boleh mengawal jangkitan tempatan dan kemudian apabila masanya tiba, mungkin kita akan melihat kepada situasi global apabila membuka sempadan negara.

"Namun, ia memerlukan SOP yang mungkin melibatkan langkah kuarantin selama 14 hari, ujian swab dan mereka dibenarkan masuk. Jadi ini adalah antara pertimbangan yang kita ada namun keputusan belum lagi dibuat," katanya dalam sidang media harian di sini pada Rabu.

Malah katanya, isu berkenaan perlu dikaji secara teliti memandangkan kes import iaitu mereka yang baru pulang dari luar negara turut mencatatkan kes positif COVID-19.

"Kawalan di sempadan adalah sangat penting kerana kita melihat mereka yang pulang ke Malaysia ada 360 kes positif. 88 daripada mereka yang positif selepas ujian swab kedua dilakukan di mana ujian swab pertama mereka adalah negatif.

"Oleh kerana itu, kita sangat serius dalam isu membuka semula sempadan. Namun itu mungkin pilihan terakhir,"ujarnya.