KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan dalam memerangi pandemik COVID-19 mula menampakkan keberkesanan apabila sebahagian sektor ekonomi dibenarkan kembali beroperasi dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Nadzir Helmi berkata pembukaan sebahagian sektor tersebut adalah rentetan perancangan jangka panjang kerajaan dalam menggiatkan program vaksinasi sehingga berjaya mencapai lebih 50 peratus daripada populasi negara telah divaksin sekurang-kurangnya satu dos semalam.

"Ia juga menampakkan hasil apabila berdasarkan kenyataan beberapa anggota kesihatan, berlaku penurunan dalam kadar kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) melibatkan warganegara. Ini menunjukkan bahawa usaha kerajaan mula menampakkan hasil.

'Apa yang dilaksanakan oleh kerajaan sebenarnya tidak kurang seperti yang dilaksanakan di United Kingdom (UK), apabila kerajaan mempergiatkan vaksinasi bagi mencapai imuniti kelompok, dan seterusnya membuka sektor ekonomi secara serentak dan terancang, seiring peningkatan kadar populasi yang menerima vaksinasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nadzir berkata usaha kerajaan yang kerap diperlekehkan sesetengah pihak, kini mula menunjukkan sinar di hujung kegelapan.

"Pemuda PAS menyambut baik segala usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam mencari jalan keluar bagi pandemik ini. Pembukaan sebahagian sektor ekonomi ini, sedikit sebanyak boleh memberikan nafas lega buat pengusaha kecil seperti pemilik kedai cuci kereta, kedai gunting rambut serta kedai-kedai lain yang diberikan kelonggaran, untuk kembali menjana pendapatan yang hilang akibat penutupan operasi sejak sekian lama.

"Pemuda PAS juga berharap agar program vaksinasi terus dipergiatkan, termasuk cadangan menggerakkan suntikan vaksin secara rumah ke rumah atau pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) secara pandu lalu, bagi memastikan lebih ramai divaksinasi sebelum Oktober," katanya.

Dalam pada itu, Nadzir berkata Pemuda PAS turut mengajak semua pihak, termasuk ahli politik, golongan persendirian dan NGO, agar menumpukan usaha sepenuhnya bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara.

Katanya langkah yang dilaksanakan kerajaan sudah mula menampakkan hasil dan sayang jika ia terhenti akibat persengketaan dan perbalahan.

"Semoga wabak ini akan berakhir dengan segera, dan kehidupan rakyat kembali seperti sediakala," katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan 11 jenis aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran kembali beroperasi dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa esok.

Aktiviti-aktiviti ekonomi itu adalah kedai cuci kereta; kedai elektrik dan elektronik; kedai barangan rumah dan peralatan dapur; kedai perabot; kedai peralatan sukan; kedai aksesori kereta; pusat pengedaran dan jualan kereta; pasar pagi dan pasar tani; kedai pakaian, fesyen dan aksesori; kedai barang kemas; kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan bagi perkhidmatan gunting rambut asas sahaja, katanya.

--BERNAMA