Menurut Presiden Kelab Belia Prihatin Malaysia, Luqman Hakim Md Zim, ini penting bagi meminimumkan impak negatif terhadap alam sekitar dan masyarakat.
Katanya lagi, pusat data memerlukan jumlah tenaga yang besar untuk beroperasi, terutamanya untuk menyejukkan peralatan elektronik dan fasiliti lain.
Penggunaan tenaga yang tinggi ini boleh meningkatkan pelepasan karbon yang seterusnya akan memberi kesan kepada pemanasan global.
"Pertama, dari sudut pembangunan pusat data, pastinya memerlukan penggunaan elektrik yang besar dan banyak.
"Persoalannya bagaimana kita dapat memastikan penggunaan elektrik ini dilakukan dengan berhemah?
"Jadi saya rasa, antara yang boleh dipertimbangkan adalah dengan menggunakan sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga solar.
"Namun, adakah negara kita mempunyai kemampuan atau kapasiti untuk menggunakan sepenuhnya tenaga yang boleh diperbaharui?," ujarnya ketika mengulas mengenai Youth Sustainability Forum 2024 dalam program AWANI Pagi pada Rabu.
Youth Sustainability Forum 2024 merupakan platform kepada pemimpin muda, aktivis, dan pakar untuk bekerjasama, berkongsi pengetahuan, dan mendorong perbincangan bermakna mengenai pembangunan lestari dan pemuliharaan alam sekitar.
Terdahulu, kerajaan sebelum ini memberitahu akan mengumumkan garis panduan untuk keberkesanan penggunaan kuasa (PUE) dan keberkesanan penggunaan air (WUE) di pusat data menjelang suku ketiga tahun ini untuk meningkatkan pelaburan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, garis panduan itu akan memastikan pusat data yang dibina di Malaysia memenuhi keperluan kemampanan minimum bagi mencapai pelepasan karbon bersih sifar menjelang 2050.
Kenyataan itu dibuat selepas pembangunan KUL2 (kampus Cyberjaya kedua) milik Vantage Data Centers, yang bakal menjadi pusat data terbesar di rantau Asia Pasifik (APAC) setakat ini.
Dengan keluasan lapan kali ganda lebih besar dari kampus yang pertama, kampus itu dapat menampung pelaksanaan 'cloud' dan kecerdasan buatan (AI), serta menyokong teknologi penyejukan cecair untuk menyokong kepadatan kuasa tinggi dan aplikasi intensif data.