"Pada FY 2025, Microsoft dijangka melabur kira-kira AS$80 bilion untuk membina pusat data AI bagi melatih model AI serta melancarkan aplikasi berasaskan AI dan cloud di seluruh dunia," kata Naib Pengerusi dan Presiden Microsoft, Brad Smith, dalam satu catatan blog.
Smith menegaskan bahawa AI mampu mendorong inovasi dan meningkatkan produktiviti dalam setiap sektor ekonomi, sambil menyatakan bahawa Amerika Syarikat bersedia memimpin gelombang teknologi ini terutama jika negara itu memanfaatkan kekuatannya dan menjalin kerjasama antarabangsa dengan berkesan.
"Hari ini, Amerika Syarikat mendahului perlumbaan AI global hasil pelaburan modal swasta dan inovasi oleh syarikat-syarikat Amerika, daripada syarikat permulaan yang dinamik hingga perusahaan yang mapan," katanya.
"Di Microsoft, kami menyaksikan perkara ini secara langsung menerusi kerjasama kami dengan OpenAI, firma-firma baharu seperti Anthropic dan xAI, serta platform dan aplikasi perisian berasaskan AI kami sendiri."
-- BERNAMA