Beliau berkata perbincangan berkenaan bertujuan melihat sama ada LinkedIn memenuhi kriteria yang diperlukan untuk mendaftar bagi mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan (ASP) di Malaysia.
"Kita dapati LinkedIn mempunyai jumlah pengguna melebihi 8 juta (di Malaysia). Angka ini telah diumum oleh LinkedIn sendiri bagi suku pertama 2025 dan MCMC telah mula berhubung dengan pihak Microsoft yang memiliki LinkedIn," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Rintis Future Health for All (FH4A) di sini hari ini.
Mengenai platform X dan YouTube, Fahmi berkata perbincangan mengenai pendaftaran lesen berkenaan masih berjalan.
"Bagi pihak Meta, mereka dalam fasa akhir sama seperti yang saya sebut baru-baru ini, ada satu dokumen yang mereka sedang dalam proses untuk hantar," tambahnya.
Sebelum ini Kementerian Komunikasi memaklumkan Telegram menjadi platform ketiga selepas TikTok dan WeChat yang mendapat kelulusan lesen ASP.
-- BERNAMA