TAPAH: Seorang lelaki maut, manakala dua rakannya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam nahas dengan sebuah lori di Kilometer (km) 77.5 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur pada Ahad.

Pemandu Perodua Myvi, Muhammad Khairil Aznie Bahraum, 23, meninggal dunia di tempat kejadian sementara dua rakannya Muhamad Iqbal Adnan, 24, serta Muhammad Afif Asyraf Kamarulzaman, 23, cedera ringan.

Pemandu lori, Boey Hin Thoo, 59, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Lori terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Ipoh, sementara kereta yang dinaiki tiga lelaki berkenaan dalam perjalanan dari Chenderiang ke Slim River.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata siasatan awal kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.40 pagi itu mendapati kemalangan berpunca daripada kereta Perodua Myvi yang hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar tayar hadapan sebuah lori yang sedang bergerak.

“Apabila sampai di tempat kejadian, Perodua Myvi yang berada di lorong kanan telah hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar tayar hadapan sebelah kanan lori di situ.

“Akibat daripada kemalangan itu, pemandu kereta berkenaan mengalami kecederaan parah pada bahagian dalaman anggota badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah Wan Azharuddin, kedua-dua kenderaan itu telah ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) manakala pihak polis sedang giat mengesan saksi bebas bagi siasatan lanjut.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.