GERIK: Seorang pemandu treler yang membawa muatan tepung maut selepas kenderaan yang dipandu terbabas sebelum terbalik ke bahu jalan di Kilometer 24 Jalan Raya Timur Barat (JRTB), di sini pagi tadi.

Kemalangan yang berlaku pada kira-kira jam 7.38 pagi itu turut menyebabkan kelindan treler tersebut mengalami kecederaan.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pagi tadi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik bergegas ke lokasi.

"Kemalangan jalan raya itu membabitkan sebuah treler 20 tan muatan tepung telah terbalik di bahu jalan.

"Ia menyebabkan dua orang mangsa iaitu pemandu dan kelindan tersepit. Pemandu disahkan maut di lokasi kejadian manakala kelindan cedera," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Treler Terbalik | Pemandu treler muatan tepung maut, kelindan cedera


Ujar jurucakap itu lagi, anggota bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat, sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.

Katanya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai oleh PBK II Mohd Ridzwan Abdul Rahman itu tamat pada jam 9.55 pagi.