EKSPORT seringkali dilihat sebagai medan permainan syarikat-syarikat besar. Perusahaan kecil dianggap tidak ada peluang untuk eksport.

Apa yang disebutkan itu ada kebenarannya. Suatu masa dulu, kebanyakan syarikat kecil tidak ada sumber untuk menguruskan penerokaan pasaran luar. Selain itu, mereka juga tidak ada kapasiti pengeluaran yang diperlukan.

Bagaimanapun, dengan perkembangan globalisasi, teknologi dan komunikasi, penerokaan pasaran luar menjadi lebih mudah. Urusan eksport yang selama ini dilihat sebagai misteri, kini boleh diperoleh dengan mudah melalui laman web.

Kalau sebelum ini, eksport dibuat dalam kuantiti yang besar, kini ia boleh dikurangkan sesuai dengan kapasiti pengeluaran sesebuah perusahaan.

Seperti aktiviti-aktiviti bisnes yang lain, eksport juga ada cabaran. Namun, pada masa yang sama eksport memberikan ruang dan peluang untuk sesebuah syarikat mengembangkan bisnes dengan menerokai pasaran baru.

Kejayaan perusahaan kecil mengeksport terletak kepada beberapa faktor. Ini termasuklah kemampuan perusahaan tersebut melakukan inovasi, menguasai teknologi, ada kreativiti dan mampu memenuhi niche atau keperluan unik pasaran tertentu.

Di Thailand, kerajaan telah memperkenalkan program One Tambon One Product (OTOP) atau Satu Daerah Satu Industri. Di bawah program ini, 6,000 perusahaan kecil dan perusahaan komuniti mengeksport AS$300 juta (RM1.2 bilion) setahun pada tahun 2016.

Perusahaan kecil di Thailand ini mengeksport produk-produk seperti makanan dan minuman, pakaian, aksesori dan cenderamata. Apa yang dilakukan oleh perusahaan kecil Thailand ini juga sesuai untuk dilaksanakan oleh perusahaan kecil dan sederhana di Malaysia.

Manakala di Filipina terdapat 41 pengilang dan pengeksport kerepek pisang yang memproses antara 20 hingga 60 tan pisang sehari. Industri ini telah menyediakan peluang pekerjaan kepada penanam pisang dan perusahaan-perusahaan kecil, termasuklah perusahaan mikro yang memproses hanya empat tan kerepek pisang setahun.

Perusahaan-perusahaan ini mengeksport kerepek pisang ke negara-negara Asia, Eropah, Australia dan Amerika Syarikat, menjadikan Filipina antara empat negara utama pengeksport produk tersebut.

Sebahagian kerepek pisang Filipina diimport adalah dalam bentuk pukal dan dibungkus semula di Amerika Syarikat. Kerepek pisang dalam pek-pek kecil ini dijual di pasaraya-pasaraya besar dan kedai runcit. Manakala sebahagian lagi dibungkus dan dilabel dengan jenama Filipina sendiri.

Sementara itu, jenama PRAN di Bangladesh atau nama penuhnya, Program for Rural Advancement Nationally dimulakan oleh Allahyarham Amjad Khan Chowdury sebagai sebuah perusahaan kecil pada tahun 1991. Pada peringkat awal, PRAN membeli produk dari petani-petani di kampung.

Selepas lima tahun beroperasi, PRAN mengeksport buat pertama kali ke Perancis. Hari ini, produk PRAN dieksport ke lebih 118 buah negara (termasuk Malaysia) dengan lebih 300 juta pengguna di seluruh dunia.

Sekarang PRAN mempunyai 60,000 orang pekerja dengan lebih 100,000 petani di seluruh Bangladesh mendapat manfaat dari eksport jenama Bangladesh yang popular itu.

Di Amerika Syarikat pula, 67 peratus syarikat yang mengeksport mempunyai pekerja bawah 20 orang. Di negara ini, “bisnes kecil” bermaksud perusahaan yang mempunyai kurang 500 orang pekerja. Manakala, perusahaan yang mempunyai pendapatan di bawah AS$1 juta (RM4 juta) dianggap sebagai “amat kecil.”

Sementara syarikat besar ada kelebihan, syarikat-syarikat kecil juga ada kekuatan tersendiri. Syarikat kecil mudah membuat penyesuaian kepada strategi bisnes dengan cepat, sekaligus boleh memenuhi keperluan pasaran dengan lebih mudah.

Dengan sokongan teknologi dan fasiliti terkini yang disediakan oleh kerajaan dan swasta di dalam dan luar negara, perusahaan kecil boleh meningkatkan kapasiti pengeluaran dengan mudah tanpa pelaburan kepada kos infrastruktur yang terlalu besar.

Selain itu, sesuai dengan sifat perusahaan kecil, mereka boleh memberikan tumpuan kepada artisan dan “specialty food” dengan kualiti produk yang dihasilkan dalam kuantiti kecil.

Sebagaimana syarikat-syarikat besar mengembangkan bisnes melalui eksport, syarikat-syarikat kecil juga boleh mengeksport sekiranya mereka menggunakan strategi dan pendekatan yang betul.

________________________________________________________________________________________

* Penulis yang turut dikenali sebagai NOBISHA ialah Ketua Pegawai Eksplorasi, Enescorp International LLC (http://www.enescorp.org)

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.