KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi menyasarkan pengembangan pasaran eksport dan penggunaan domestik buluh sehingga RM85 juta menjelang tahun 2030.


Ringkasan AI
  • Kementerian Perladangan dan Komoditi menyasarkan pengembangan pasaran eksport dan penggunaan domestik buluh hingga RM85 juta menjelang 2030, dengan perdagangan eksport buluh dan produk berasaskan buluh meningkat sebanyak 47% pada 2023 berbanding 2022.
  • Malaysia merekodkan eksport produk buluh bernilai RM20.1 juta pada 2023, dengan 577 pengusaha terlibat dalam industri berasaskan buluh yang meliputi sektor seperti papan buluh, perabot, pembinaan, tekstil, perladangan, makanan, arang, dan kraftangan.
  • Kementerian sedang membangunkan Makmal Tisu Kultur dan Tapak Semaian dan Penyelidikan Buluh di Lahat, Perak, untuk meningkatkan penghasilan anak benih buluh berkualiti, dijangka mampu menghasilkan 300,000 anak benih setahun dan beroperasi mulai November tahun ini.


Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tumpuan diberikan kepada buluh kerana industri buluh berpotensi menjadi sumber pendapatan bagi ekonomi negara.

Menurutnya, perdagangan eksport buluh dan produk berasaskan buluh juga menunjukkan peningkatan sebanyak 47 peratus pada 2023.

Jelasnya, eksport pada 2023 merekodkan sejumlah RM20.1 juta berbanding pada tahun 2022 sebanyak RM13.7 juta.

“Produk buluh negara yang dieksport adalah terdiri produk kumai (moulding), buluh bulat (round bamboo), tanggam (builders joinery and carpentry), arang, papan lapis, perabot dan barangan buluh yang lain.

“Pada masa kini, terdapat sebanyak 577 pengusaha yang terlibat secara langsung dalam industri berasaskan buluh di Malaysia.

“Ia merangkumi industri papan buluh, perabot, pembinaan, tekstil, perladangan, makanan dan arang serta kraftangan. Jumlah keluasan ladang/tanaman buluh di Malaysia pula ialah 4,000.87 hektar,” katanya.

Tambahnya, kementerian juga sedang membangunkan Makmal Tisu Kultur dan Tapak Semaian dan Penyelidikan Buluh seluas 1.72 hektar di Lahat, Perak.

Tujuan penubuhan makmal itu adalah untuk meningkatkan kemampuan penghasilan anak benih buluh berkualiti.

“Fasiliti ini dijangka mampu menghasilkan 300,000 anak benih buluh setahun dalam satu-satu masa untuk menampung permintaan pembangunan ladang buluh di Malaysia.

“Sehingga kini, pembinaan tapak semaian ini telah siap sehingga 95 peratus dan pusat ini dijangka akan mula beroperasi pada bulan November tahun ini.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Selasa bagi menjawab soalan Bakri Jamaluddin (PN - Tangga Batu) yang bertanya sejauh mana kemajuan telah dicapai industri buluh negara selaras dengan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2021-2030.