KUALA LUMPUR: Penubuhan SG4 Group Sdn Bhd oleh empat kerajaan negeri yang dipimpin Perikatan Nasional merupakan langkah positif untuk memanfaatkan potensi besar unsur nadir bumi (REE), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya melihat penubuhan SG4 Group Sdn Bhd mempunyai tujuan yang baik.

“Terdapat banyak potensi untuk menjadikan REE sebagai produk eksport," katanya kepada wartawan selepas melancarkan Persidangan Undang-undang Antarabangsa mengenai Bahaya Dalam Talian di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Tambah beliau, harga pasaran global bagi REE telah jatuh sebanyak 70 peratus akibat lambakan bahan tersebut oleh negara pengeksport tertentu.

Zahid turut menyatakan bahawa empat negeri yang menubuhkan SG4 akan mengembangkan strategi tersendiri untuk meneroka REE, namun mereka masih terikat dengan ekosistem cukai kerajaan persekutuan bagi tujuan eksport.

Pada Isnin, negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis menubuhkan sebuah syarikat dinamakan SG4 Sdn Bhd bagi berkongsi kekayaan dan mengagihkan hasil kepada empat-empat negeri itu secara saksama.

Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, menerusi syarikat tersebut, setiap negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) itu akan memiliki saham dan ekuiti yang sama.



Tags: SG4 Group, Zahid Hamidi, Unsur Nadir Bumi