"Apakah perkembangannya, dan ini yang menarik, iaitu komposisi eksport China. Mereka dalam pasaran maju tetapi meningkat kepada pasaran sedang pesat membangun," katanya sambil memaklumkan saham eksport dalam kebanyakan pasaran sedang pesat membangun Asia adalah tidak berubah.
Gruenwald berkata demikian dalam pembentangan bertajuk, "Global Macro: The Landing Begins" pada Persidangan Maya Institusi Kewangan Asia Pasifik 2024 hari ini.
Beliau berkata Vietnam dan Mexico telah mendapat manfaat daripada lencongan perdagangan manakala Hong Kong dan Singapura meraih manfaat yang tinggi daripadanya.
"Manfaat kepada Vietnam dan Mexico tidak dapat diukur, dan ia akan mengubah situasi dengan ketara terhadap rakyat Mexico dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Vietnam," katanya.
Gruenwald berkata ekonomi Amerika Syarikat (AS) masih teguh, diterajui oleh perkhidmatan dan pelaburan swasta.
"Minggu lepas, kami mempunyai senarai gaji yang memuaskan, tetapi mungkin lebih perlahan daripada trend terkini. (KDNK) berkembang kira-kira 2.0 peratus di AS (untuk suku ketiga 2024). Petunjuk tertentu menunjukkan pertumbuhan yang perlahan tetapi masih stabil.
"Kami pastinya menyaksikan penurunan aktiviti tetapi bukan penurunan biasa yang akan kami lihat selepas kenaikan kadar yang tinggi. Kami berpandangan Rizab Persekutuan AS (Fed) akan menggunakan 25 mata asas (bps) minggu depan dan 25 lagi menjelang akhir tahun ini," katanya.
Fed dijangka menurunkan kadar faedah pada mesyuarat seterusnya pada 17 dan 18 September. Bank pusat Amerika itu akan mengadakan dua mesyuarat terakhirnya untuk 2024 pada 6 hingga 7 November dan 17 hingga18 Disember.
Gruenwald berkata pentadbiran Kamala Harris dilihat lebih kepada kesinambungan Joe Biden, dengan jangkaan hubungan yang lebih baik dengan sekutu dan ketidaktentuan ekonomi yang berkurangan.
Menurutnya pertumbuhan ekonomi China mungkin akan berubah daripada sasaran rasmi 5.0 peratus pada 2024 berikutan momentum ekonomi yang perlahan.
"Kita mempunyai angka inflasi yang lemah. Semalam, terdapat beberapa nombor dagangan yang kukuh. Oleh itu, corak permintaan dalam negeri yang lemah dan eksport yang kukuh ini berterusan. Penyusutan hartanah masih berlarutan.
"Pihak berkuasa (China), boleh saya katakan, adalah sederhana dalam campur tangan dasar mereka untuk mengimbangi disiplin pasaran dengan menyokong sektor hartanah melalui aspek seperti menurunkan bayaran pendahuluan dan kadar faedah yang lebih mudah," katanya.
Eksport China meningkat 8.7 peratus pada Ogos iaitu kadar terpantas sejak Ogos 2023 manakala import naik 0.5 peratus.
"Kami akan memerhatikan reaksi pihak berkuasa dalam tempoh beberapa bulan akan datang untuk melihat sama ada banyak lagi yang mereka laksanakan.
"Sentimen pengguna masih lemah di China. Perlu diingat bahawa perbelanjaan pengguna adalah kira-kira 40 peratus daripada KDNK, oleh itu ia adalah isu struktur," kata Gruenwald.
-- BERNAMA