PHNOM PENH: Kemboja mengeksport 173,915 tan lateks getah asli dalam tempoh tujuh bulan pertama 2024, meningkat sebanyak 1.72 peratus daripada 170,968 tan dalam tempoh yang sama tahun lepas, menurut laporan daripada Direktorat Am Getah pada Ahad, lapor Xinhua.

Negara itu memperoleh hasil sebanyak AS$269 juta daripada eksport komoditi itu dalam tempoh Januari-Julai tahun ini, meningkat 12.4 peratus daripada AS$239.3 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, kata laporan itu.

"Harga purata satu tan lateks getah adalah AS$1,547 dalam tujuh bulan pertama 2024, kira-kira AS$147 lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lepas," kata Khun Kakada, Pemangku Ketua Pengarah Direktorat Am Getah dalam laporan itu.

Negara Asia Tenggara itu mengeksport komoditi berkenaan terutamanya ke Malaysia, Vietnam, Singapura dan China.

Menurut laporan itu, Kemboja setakat ini telah menanam pokok getah di kawasan seluas 407,172 hektar, dan kawasan seluas 320,184 hektar, atau 78.6 peratus, sudah cukup matang untuk ditoreh.

-- BERNAMA