KUALA LUMPUR: Sejarah Bukit Dinding yang terletak di Wangsa Maju di sini mungkin tidak sehebat apa yang berlaku di Bukit Melawati, Kuala Selangor yang pernah ditakluki penjajah Belanda atau Bukit Candu di Singapura yang menjadi benteng pertahanan terakhir Leftenan Muda Adnan Saidi daripada serangan tentera Jepun sekitar tahun 1942.

Walaupun begitu, hakikat yang kurang diketahui, bukit berketinggian 291 meter dan berkeluasan sekitar 121 hektar itu yang pernah menjadi 'saksi' peristiwa Perang Klang sekitar 1870-an, mempunyai kepentingan tersendiri iaitu kekayaan khazanah geologi.

Masih mengekalkan kehijauan serta menjadi lokasi popular aktiviti rekreasi warga kota, kajian mendapati batuan di Bukit Dinding merupakan batuan tertua di Kuala Lumpur yang terdiri daripada Syis Dinding dengan usia sekitar 479 juta tahun, melangkaui usia formasi batu kapur dan Syis Hawthornden.

Prof Madya Dr Mustafa Kamal Abdul Aziz yang pernah membuat kajian tentang Syis Dinding itu berkata, ia merupakan batu metamorfik berbutir yang terdiri daripada beberapa jenis batuan berbeza dan dicirikan oleh beberapa struktur ketakselanjaran dengan ketebalan dianggarkan 3,000 meter ke dalam.

Disebabkan kekayaan geologi itu, beliau berpandangan Bukit Dinding berpotensi besar menjadi tapak penyelidikan saintifik kerana batuan Syis Dindingnya diiktiraf pakar geologi sebagai antara sampel terbaik yang terdapat di negara ini.

"Sebagai contoh, penyelidikan lanjut boleh dilakukan antara hubung kait batuan Syis Dinding dengan struktur permukaan serta kesannya kepada pembangunan tidak terkawal dan bahaya semula jadi lain seperti banjir dan tanah runtuh.

"Selain itu, kajian juga boleh difokuskan kepada bagaimana Bukit Dinding yang boleh diuruskan untuk dijadikan sebagai benteng semula jadi di ibu negara bagi mencegah berlakunya perubahan iklim seperti hujan lebat, kemarau panjang dan kebakaran hutan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sehubungan itu, bekas pensyarah Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar Universiti Nottingham Malaysia itu mencadangkan supaya Bukit Dinding dijadikan tapak Geopark Kebangsaan sebagai usaha melestari khazanah ekologi keseluruhan yang masih ada di kawasan hijau itu.

"Kalau sebahagian batuan Dinding Syis yang ada di Melawati dan Ukay Perdana boleh diangkat sebagai Geopark (Gombak-Hulu Langat Geopark), kenapa batuan Syis Dinding di Bukit Dinding 'didiamkan', sedangkan kawasan ini memiliki sampel terbaik dari segi usianya dan 'induknya' ada di sini.

"Malah batuan Syis Bukit Dinding masih dilindungi berbanding di Ukay Perdana dan Melawati kerana kebanyakan singkapan di kawasan itu musnah disebabkan pembangunan," katanya.

Sementara itu, pensyarah kanan Jabatan Geologi Universiti Malaya, Dr Elanni Md Affandi berkata, ada keberangkalian batuan Syis Dinding di sini berisiko diluluhawa (proses penguraian atau pereputan batuan) akibat tindak balas pelbagai agen persekitaran seperti air hujan, perubahan suhu dan angin hingga ia menjadi tanah.

Menurut beliau, proses tersebut memakan masa yang lama dan batuan syis kebiasaan dijumpa pada kedalaman 13.6 meter dari dasar permukaan tanah yang terdiri daripada dua jenis batuan utama iaitu meta-volkanik dan syis kuarza-mika yang mempunyai sifat berbeza.

"...dan apabila dibuat pembangunan, pokok hutan yang memegang struktur tanah akan ditebang dan ditaras, sistem perparitan semula jadi turut diubah, jadi apabila hujan lebat berterusan, lama-kelamaan proses penyusupan air di cerun akan meningkatkan ketepuan air dalam tanah yang melemahkan kondisi tanah tersebut.

"Situasi ini boleh menyebabkan batuan Syis terdedah dengan agen tindak balas persekitaran sekaligus boleh mengundang kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur," jelasnya dengan menambah, hasil tinjauan di lapangan dan imej satelit menunjukkan sekitar tujuh kejadian tanah runtuh berskala kecil dan besar direkodkan sepanjang tahun 2021 di Bukit Dinding.

Dalam pada itu, ahli botani Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Lim Koon Hup pula berkata, meskipun hutan Bukit Dinding boleh dikategorikan miskin biodiversiti, tetapi adalah tidak mustahil sekiranya ada langkah serius ke arah menjadikannya sebagai hutan semula jadi atau primer.

"Sebagaimana Taman Rimba Kiara, dulunya ladang getah tapi apabila kerajaan ambil alih (beli) kawasan itu dan jadikan ia untuk kegunaan awam, tahap biodiversitinya kini sangat baik, begitu juga dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Kepong yang suatu ketika bekas tanah lombong tapi apabila dipulihkan dengan menanam semula pokok hutan, ia kini betul-betul berubah," katanya

Lim memaklum, setakat ini berdasarkan tinjauan lapangan selama dua hari di Bukit Dinding, beliau merekodkan sebanyak 175 sampel spesies pokok hutan yang terdapat di situ dan jumlah itu dijangka bertambah sekiranya beliau berada lebih lama di kawasan hutan berkenaan.

Antara spesies pokok hutan ditemui ialah pokok Mentulang Daun Lebar, pokok Pulai, pokok Lemba Batu, pokok Senduduk Bulu dan pokok Memali yang setiap daripadanya mempunyai manfaat dan keunikannya.

Selain itu, MNS katanya, turut merekodkan sebanyak 88 spesies rama-rama dan 43 spesies burung di hutan Bukit Dinding seperti burung jenis Black Paradise Flycatcher dan Javan Myna yang dikategorikan hampir terancam.

-- BERNAMA