KUALA LUMPUR: Para pelanggan dan pengguna Astro mempunyai alternatif untuk membayar bil tanpa dikenakan caj RM0.50 sen terhadap perkhidmatan, termasuk melalui platform secara dalam talian.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata caj perkhidmatan sebanyak RM0.50 bagi pembayaran bil Astro telah dilaksanakan oleh ejen pembayaran Astro  sejak Januari lalu.

Jelas beliau, caj perkhidmatan bagi urusniaga pembayaran bil adalah berbeza bergantung kepada jenis dan tahap perkhidmatan yang ditawarkan, atas persetujuan bersama secara komersial.

"Seperti yang saya katakan, Astro memberikan pilihan platform bayaran bil tanpa dikenakan sebarang caj. Seperti saya sebutkan, dan ia ada (termasuk bayaran) pilihan di Pejabat Pos.

"Walaupun kita (Kementerian) satu badan kawal selia yang bertanggungjawab ke atas Pos Malaysia, bidang kuasa itu masih merukapan persetujuan secara komersial dan saya akan merujuk kepada mereka cadangan (memansuhkan caj) Yang Berhormat," katanya Pada Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) yang mencadangkan agar caj RM0.50 sen dimansuhkan dan ditanggung oleh pihak Astro.

Jelas Annuar, tiada sebarang peraturan atau bidang kuasa yang membolehkan pihak Kementerian mengarahkan pemansuhan caj perkhidmatan tersebut.

Sebelum itu, Kasthuriraani turut meminta menteri menyatakan mengapa RM0.50 sen dikenakan sebagai caj sebagai komisyen oleh Pejabat Pos kepada pelanggan apabila membayar bil Astro sekiranya dibayar secara manual di Pejabat Pos.

Menjawab pertanyaan tersebut, Annuar berkata Pos Malaysia  hanya mula mengenakan caj perkhidmatan yang sama bagi pembayaran  bil Astro di kaunter bermula 1 September lalu.

"Pos Malaysia berfungsi sebagai saluran penting untuk kemudahan  rakyat bagi pembayaran bil kepada lebih 200 agensi dan jabatan kerajaan  termasuk syarikat swasta.

Ini termasuk Kerajaan Tempatan seperti Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah; jabatan dan yayasan berkaitan  pendidikan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), MARA, KPT dan sebagainya.

"Selain itu, perkhidmatan  utiliti seperti TNB, Air Selangor dan Indah Water; dan juga syarikat  telekomunikasi dan penyiaran seperti TM, Maxis, Celcom dan Astro," katanya.

Antara alternatif yang disediakan Astro bagi mengelakkan pengguna dikenakan caj perkhidmatan ialah perkhidmatan auto debit, di mana pelanggan perlu mendaftar melalui  Self-Service Portal atau di Pusat Khidmat Pelanggan Astro.

Selain itu, platform Astro Quick Pay, portal Astro Self-Service, Saluran  Astro 200 dan aplikasi My Astro.