KUALA BESUT: Seorang pelancong wanita warga Jerman lemas semasa mandi di Pulau Perhentian petang Khamis.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata insiden berlaku ketika Dr Loosen- Freiling Iris, 74, mandi bersama suaminya di pulau peranginan itu pada kira-kira 3.30 petang.

Beliau berkata suami mangsa, yang juga warga Jerman, telah menarik mangsa ke pantai dengan bantuan orang awam sebaik menyedari isterinya lemas.

"Mangsa telah diberikan bantuan kecemasan awal namun tidak berjaya dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian namun disahkan telah meninggal dunia," menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Khairi berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat dan siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah.

Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

-- BERNAMA