Muhammad Assif Md Zahid, 17, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada badan.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, kejadian itu diketahui ibu manga yang berusia 46 tahun selepas dihubungi suaminya pada jam 7.44 pagi tadi.
“Ketika itu ibu mangsa yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan dalam perjalanan dari Felda Teloi Timur ke tempat kerjanya di Sungai Petani.
"Suaminya meminta untuk berpatah balik dan memaklumkan berhubung kejadian yang menimpa anak mereka.
"Kemudian sebaik tiba di lokasi, ibu mangsa berselisih dengan kereta suaminya dan terus mengikut suaminya ke Hospital Sik.
"Setibanya di hospital, suaminya memaklumkan bahawa anak mereka meninggal dunia akibat dihempap pokok sewaktu dalam perjalanan ke sekolah," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.
Abdull Razak berkata, mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sik untuk bedah siasat.
Katanya, siasatan awal yang dilakukan di tempat kejadian mendapati tiada kesan jenayah atau khianat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.