"Saya harap semua pihak termasuk di peringkat kementerian, dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mempertingkatkan lagi program advokasi yang melibatkan pelajar sekolah ini.
"Fokus di peringkat kita adalah untuk menangani kesalahan yang dilakukan (pelajar) berkaitan lalu lintas. Ia bertujuan mengurangkan kemalangan jiwa dan kecacatan anggota," katanya selepas menghadiri Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Haji Mohd Taib, Chemor di sini hari ini.
Azizi berkata selain kesalahan lalu lintas, pihak polis turut memberi fokus kepada kesalahan yang melibatkan narkotik dan jenayah.
Beliau berkata usaha secara berterusan perlu dilakukan kerana perkembangan terkini menunjukkan bahawa para pelajar sekolah merupakan golongan sasaran yang mudah terdedah kepada pelbagai aktiviti jenayah.
"Mereka kini bukan hanya terdedah kepada pelbagai jenayah berbentuk fizikal atau persekitaran, tetapi secara dalam talian (media sosial) juga menjadi antara tempat (perlakuan jenayah) boleh berlaku," katanya.
"Selain itu, program advokasi yang dilaksanakan bersama sekolah bantuan penuh kerajaan ini akan diperluas ke seluruh institusi pendidikan swasta yang setaraf.
"Ini bagi memastikan berlaku pencegahan secara menyeluruh, dan pada masa sama platform (program) ini boleh digunakan bagi mengisi masa para pelajar dengan aktiviti yang bermanfaat," katanya.
-- BERNAMA