Beliau berkata pelajar terlibat hanya boleh melalui laluan yang diwartakan dan dilarang melalui pangkalan haram Sungai Golok untuk menyeberang ke Rantau Panjang.
"Keputusan itu dibuat dan diputuskan melalui mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang, semalam.
"Saya juga difahamkan pihak berkuasa Thailand juga bersedia untuk membuka pintu sempadan mereka seawal 6 pagi bagi memberi laluan pelajar sekolah untuk melalui ICQS," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Mohd Yusoff berkata sebelum ini pintu sempadan pernah dibuka seawal 6 pagi, namun sejak wabak COVID-19 melanda negara, ia diubah kepada 7 pagi.
Beliau berkata pemantauan pihaknya mendapati pelajar sekolah yang menaiki perahu tanpa enjin menggunakan pangkalan haram sungai itu kebanyakannya tidak memakai jaket keselamatan, terlebih muatan dan perahu ditarik menggunakan tali untuk ke seberang.
Hal itu, katanya agak membimbangkan kerana pelajar terpaksa berdiri di dalam perahu dari Golok untuk menyeberang ke Rantau Panjang.
Sementara itu, mengulas sama ada penyeludup dadah akan mengambil kesempatan terhadap pelajar sekolah yang menggunakan ICQS untuk menyeludup bahan terlarang itu, Mohd Yusoff berkata perkara itu berkemungkinan akan berlaku.
"Oleh itu, kita akan membuat pemeriksaan melalui pintu masuk ICQS kerana ia lebih mudah untuk memeriksa pelajar-pelajar sekolah.
Mengulas mengenai penahanan mana-mana rakyat Malaysia dan Thailand yang melalui pangkalan haram Golok-Rantau Panjang yang berkuat kuasa pada bulan depan, Mohd Yusoff berkata 85 peratus penduduk di kedua-dua negara itu menyokong tindakan polis Malaysia berhubung perkara ini.
"Saya menerima maklum balas positif daripada mereka (penduduk Malaysia dan Thailand) cuma lebih kurang 10 ke 15 peratus tidak sokong kerana mereka buat jenayah di sempadan," katanya.
Hari ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilapor berkata pelajar warganegara Malaysia yang menetap di Thailand, yang dikenal pasti oleh kementeriannya merentas Sungai Golok melalui pangkalan haram setiap hari untuk bersekolah di negara ini, bakal ditempatkan di asrama.
Fadhlina berkata perbincangan sedang dilakukan bersama waris untuk menempatkan pelajar di asrama bersesuaian sebagai langkah menjamin keselamatan dan memastikan pendidikan berterusan kepada mereka.
Media sebelum ini melaporkan hampir 500 murid dan pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram bagi merentasi Sungai Golok setiap hari untuk ke sekolah di Malaysia.
-- BERNAMA