Kendalian kontena ke-12 juta itu dicatat pada 23 Disember 2024 dan menjadi penanda aras baharu untuk kecemerlangan operasi PTP sejak mula beroperasi pada 2000.
Angka itu juga mengatasi catatan rekod terdahulu iaitu 11.2 juta TEU pada 2021, sekali gus mengukuhkan kedudukan PTP sebagai hab pemindahan kontena terkemuka serta terbesar di Malaysia.
Pengerusi PTP Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata prestasi rekod sedemikian hanya menekankan lagi peranan PTP yang amat diperlukan dalam rantaian bekalan global serta membuktikan dedikasi, komitmen serta kerja keras seluruh warga kerja PTP.
"Menerusi kendalian jumlah kontena yang begitu besar dengan lancar, kami secara konsisten menyampaikan perkhidmatan luar biasa kepada pelanggan serta rakan yang dihargai, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dan mengukuhkan semula kedudukan PTP sebagai antara terminal kontena paling cekap dan jumlah tinggi di dunia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP Mark Hardiman pula menyasarkan untuk mengekalkan momentum itu dan meraih pencapaian lebih besar pada 2025 dan tempoh-tempoh seterusnya.
"Kami telah membuat persediaan yang komprehensif bagi masa depan dengan menumpukan bukan sahaja terhadap peningkatan aset pelabuhan dan peningkatan infrastruktur, tetapi juga terus fokus ke atas pemacuan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kami, mengukuhkan dasar keselamatan dan pemerkasaan strategi pendigitalan.
"Usaha ini memastikan penambahbaikan dan pengembangan berterusan kerana kami menjangkakan peningkatan ketara dalam jumlah kendalian kontena pada tahun akan datang," katanya.
-- BERNAMA