Kong Chin Lam, 40, didakwa menyalahgunakan wang milik syarikat Zoomic Technology (M) Sdn Bhd berjumlah RM400,000, yang dia tahu wang itu bukan miliknya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Menara MBMR, Brickfields di sini antara 2 dan 3 Okt, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin, manakala peguam Ng Mei Yee yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga dan kemungkinan tertuduh akan diberhentikan kerja oleh majikannya.
Hakim Hamidah Mohamed Deril membenarkan Kong diikat jamin RM25,000 dan menetapkan 27 Nov untuk sebutan semula kes.
Di mahkamah sama, seorang pekerja restoran mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menolong menyembunyikan wang berjumlah hampir RM200,000 milik seorang pesara, lima bulan lepas.
Lee Jet Huat, 23, didakwa menolong menyembunyikan wang RM190,000 milik seorang lelaki berusia 70 tahun yang dimasukkan ke dalam akaun bank Alliance bank milik tertuduh di Taman Tun Dr Ismail di sini pada 31 Mei.
Pertuduhan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Raihanah menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah atas alasan menanggung bapa yang sakit.
Mahkamah membenarkan Lee diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sama (27 Nov) untuk sebutan kes.
-- BERNAMA