KUALA LUMPUR: Seorang pekebun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tiga pertuduhan menyokong dan memiliki gambar berkaitan kumpulan pengganas Daesh di akaun Facebook miliknya 'Oyen Ucuk', tahun lepas.

Muhammad Sani Mahdi Sahar, 31, yang juga bekas pengajar al-Quran membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan semula di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mat Radzi memaklumkan kepada mahkamah bahawa hari ini sebutan kali pertama selepas kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Muar ke Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Noorin kemudian menetapkan 19 Nov untuk sebutan kes seterusnya.

Pada prosiding hari ini, tertuduh diwakili peguam Asiah Abd Jalil.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Sani didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dengan menggunakan aplikasi media sosial Facebook atas nama dalam bahasa Arab, Abu Ibrahim yang kemudian ditukar kepada 'Oyen Ucuk'.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas, Tingkat 24 Menara 2 Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, 9 pagi, 19 Dis 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 40 tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki tiga gambar yang dikaburkan dengan keterangan gambar menyatakan individu terbabit berbai'ah kepada Abu Hafsah Al-Hasimi Al-Quroshi yang merupakan pemimpin Daesh kelima di Facebook milik tertuduh menggunakan nama sama.

Dia juga didakwa memiliki gambar program memperingati insiden militan yang berkait dengan Daesh telah menawan suatu kawasan di Mozambique pada tahun 2020, juga di Facebook sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 8 malam, 26 Mac dan 9.16 malam, 30 April lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan tersebut, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA