Tragedi MH17 memberi banyak kesan dan kenangan pahit bukan keluarga mangsa, tetapi kepada negara seluruhnya.

Bagi petugas Malaysia yang diberi amanah untuk memikul tanggungjawab sama ada dalam urusan pengecaman mangsa bencana, DVI, forensik dan siasatan, ia merupakan satu fasa yang sukar serta mencabar

Cabaran sama turut dipikul beberapa petugas Jakim yang terbabit dalam menguruskan jenazah mangsa beragama Islam.

“Tergambar dalam kepala kita untuk pergi kutip jenazah di tempat berlakunya tragedi MH17. Pelbagai gambaran di dalam kepala namun oleh kerana ia satu amanah negara kita, kita rasa bangga dan bertanggung jawab sepenuhnya,” kata Imam Besar Masjid Putra dan Ketua Petugas Jakim ke Amsterdam Abd Manaf Mat.

Oleh kerana agama Islam merupakan agama minoriti di Ukraine, segala peralatan dan bekalan dibawa secukupnya dari tiga buah masjid utama negara iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

“Jadi apabila kita ke sana, kita kena cari dulu jenazah itu dan kita kena cari tempat untuk mandikan jenazah,” tambah beliau.

Sementara itu, Penolong Pengarah Unit Khidmat Sosial JAKIM dan Petugas Jakim ke Amsterdam Mohd Zulrushdi Salleh turut berkata bahawa sesi perbincangan diadakan di Amsterdam tentang bagaimana hendak menguruskan jenazah.

“Kita dah fikirkan keadaan-keadaan jenazah yang kita akan terima dan bagaimana kita akan menguruskan jenazah tersebut.

"Beberapa perbincangan telah dibuat dan beberapa kaedah simulasi kita telah buat dengan andaian-andaian keadaan jenazah yang kita akan terima untuk diuruskan,” kata beliau.


Sebanyak 35 mangsa MH17 rakyat Malaysia sudah dibawa pulang ke Malaysia termasuk seorang penumpang dengan dua kerakyatan (Loh Yan Hwa) dan dua warga Belanda (Paul Goes dan Fan Shun Po).

Penerbangan MH17 milik Malaysia Airlines itu yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal, terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai.

Pesawat yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu dipercayai ditembak jatuh, namun sehingga kini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab.