Sebahagian besar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masih belum menggunakan sistem Khidmat Pengesahan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (KPBDBP) bagi merujuk penggunaan bahasa Melayu yang tepat di papan iklan.

Justeru, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata pihaknya kesal kerana masih ada yang tidak memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengiklanan.

"Saya berharap lebih banyak PBT akan menerima pakai penggunaan sistem ini untuk memastikan pematuhan bahasa yang berkesan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menarik perhatian bahawa persetujuan dicapai pada mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan ke-67 pada 4 Mac lepas supaya semua negeri di Semenanjung Malaysia membabitkan 99 PBT sepatutnya melaksana secara berperingkat sistem KPBDBP dalam iklan di tempat awam.

Bagi Sabah dan Sarawak, semua 50 PBT di kedua-dua negeri itu mempunyai pilihan untuk menerima pakai pelaksanaan sistem berkenaan.

Ia antara lain mewajibkan PBT memeriksa penggunaan bahasa dalam iklan menerusi internet, tanpa membabitkan kos tambahan kepada PBT dan syarikat pengiklan.

Beliau berkata antara PBT yang telah mewajibkan pengesahan penggunaan bahasa Melayu dalam iklan dan penamaan oleh DBP termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Johor Baharu, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan Dewan Bandaraya Kuching Utara.