Kerajaan diharap dapat mengumumkan pengurangan beberapa jenis cukai persendirian selain cukai kenderaan dan cukai jalan dalam pembentangan Bajet 2015 petang ini.

Ketua Pemuda MIC, C. Sivarraajh berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga diharap dapat mengutamakan belia dan mengumumkan beberapa subsidi yang mengurangkan golongan itu.

Jelasnya, kerajaan juga diharap dapat mempertimbangkan insentif yang dapat meningkatkan kualiti hidup belia India.

"Kerajaan diharap dapat memperuntukkan sejumlah nilai bagi latihan kemahiran yang mempunyai permintaan tinggi seperti kursus gas dan petroleum dan kursus kimpalan.

"Bantuan ini sekali gus dapat membantu belia India dalam memanfaatkan pengetahuan dalam kursus berkenaan," katanya kepada Astro AWANI di sini Khamis.

Dalam pada itu kata Sivarraajh, kerajaan diharap memberi tumpuan kepada belia India yang tinggi di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR), kawasan setinggan dan penempatan penempatan semula India.

"Mekanisma baru harus diperkenalkan untuk mempertingkatkan cara hidup belia di kawasan sebegini kerana mereka dipinggirkan secara tidak sengaja daripada agenda nasional negara.

"Peminggiran ini sekali gus menjadi salah satu faktor mereka melibatkan diri dalam gejala sosial," jelasnya.

Dalam pada itu katanya, skim perumahan baru bagi graduan dan belia turut diharap di bawah Bajet 2015.

"Ini untuk memudahkan pemilikan rumah baru oleh golongan tersebut dan fokus harus diberikan kepada belia dari bandar dan separa bandar.

"Ia juga berikutan kerana kurangnya pendudukan belia di estet, ladang dan kawasan luar bandar pada masa kini. Jadi kami mengharapkan kerajaan dapat mengalihkan tumpuan kepada belia bandar dan separa bandar.," ujarnya.

Sivarraajh juga berharap, Bajet 2015 memberi lebih pengawasan dan penguatkuasaan undang-undang ke atas operator kenderaan berat.

"Ia harus diaplikasikan. Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) harus melaksanakan tindakan tersebut.

"Ini kerana penguatkuasaan lemah terhadap operator kenderaan berat ini menyebabkan banyak kemalangan maut," katanya.