KUALA SELANGOR: Projek Skim Jaminan Air Mentah Selangor (SJAM) yang dibangunkan kerajaan negeri bagi memastikan tiada gangguan operasi loji rawatan air semasa insiden pencemaran sumber air mentah beroperasi secara berperingkat bermula Oktober depan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata projek pengepaman air mentah dari kolam takungan HORAS 600 di Sungai Selangor dan Kolam Takungan di Sungai Semenyih bernilai RM320 juta kini mencapai kemajuan lebih 51 peratus dan dijangka berfungsi sepenuhnya awal tahun hadapan.

Katanya di bawah SJAM, rakyat dapat menikmati pembekalan air yang berterusan tanpa gangguan walaupun pencemaran sumber air mentah dikesan berlaku di dua sungai tersebut dengan melencongkan air tercemar dan menghalang air mentah tercemar memasuki muka sauk Loji Rawatan Air (LRA).

"Justeru, apabila projek ini siap sepenuhnya, jika pencemaran air mentah berlaku di kedua-dua sungai itu, LRA seperti Rantau Panjang, SSP 1,2,3 dan LRA Semenyih akan dapat terus membekalkan air kepada pengguna tanpa terjejas akibat pencemaran tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis perasmian SJAM di HORAS 600, di sini hari ini.

Beliau berkata projek berkenaan merupakan sebahagian usaha kerajaan dalam menangani insiden pencemaran sumber air mentah berlaku pada tahun-tahun sebelum ini yang telah menjejaskan kira-kira 1.6 juta pemegang akaun Air Selangor.

"Tapi pengalaman kita menguruskan pencemaran sumber air mentah, dalam tempoh 12 jam kita dapat kenal pasti punca pencemaran dan berjaya menghentikan ia daripada berlaku, namun ada beberapa insiden yang memerlukan masa lebih panjang.

"Tetapi sasaran kita dengan penyedutan air dari kolam takungan bagi mengalirkan keluar air tercemar ini adalah untuk mengelakkan henti tugas lebih empat jam kerana kalau henti tugas lebih empat jam, akan berlaku gangguan di meter-meter dan akaun pengguna sedia ada," katanya.

Bagi menghadapi fenomena El Nino pula, Amirudin berkata Selangor ketika ini mempunyai paras takungan sumber air mentah di empangan dan kolam takungan sekurang-kurangnya 95 peratus yang mampu menampung keperluan pengguna domestik dan industri, dalam tempoh empat ke enam bulan.

-- BERNAMA