GEORGE TOWN: Sebanyak 100,300 atau 85 peratus daripada 118,000 pengguna yang terjejas gangguan bekalan air berjadual di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) sejak 4 Okt lepas, mendapat semula bekalan setakat 10 pagi ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk K. Pathmanathan memaklumkan ia susulan kerja penggantian dan pembaikan saluran paip air terawat utama 1.2 meter di Jalan Pengkalan Tambang dan Politeknik Seberang Perai di Permatang Pauh siap dan berfungsi sepenuhnya.

"PBAPP juga telah memulakan semula pengeluaran air terawat yang optimum dan kerja-kerja air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

"Bagaimanapun, terdapat pengguna di kawasan beberapa kawasan di Daerah SPS mengadu belum menerima bekalan air iaitu Perkampungan Juru, Taman Seruling Emas, Sungai Duri Indah, Taman Widuri, Taman Kesumba, Jalan Sungai Duri, Persiaran Jawi Golf Resort dan Tasek Junjong," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Pathmanathan berkata pihaknya menugaskan kakitangan bagi menangani isu tertentu di kawasan terlibat dan pasukan kerja PBAPP juga sedang mempercepat kerja-kerja 'de-airing' saluran paip di pelbagai lokasi di SPT dan SPS untuk memulihkan bekalan sepenuhnya secepat mungkin.

Kira-kira 118,000 akaun pengguna di lebih 40 kawasan di SPT dan SPS mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 24 jam bermula 10 malam 4 Okt hingga 10 malam 5 Okt namun menjadualkan semula pemulihan bekalan disebabkan insiden luar jangka pada kerja pembaikan paip di Jalan Pengkalan Tambang, Seberang Perai Utara (SPU).

Langkah itu bagi membolehkan PBAPP membaiki kebocoran paip yang menjejaskan perkhidmatan di SPT dan SPS susulan penyambungan serta penggantian saluran paip baharu sepanjang 180 meter berhampiran kampus Politeknik Seberang Perai di Permatang Pauh yang menelan kos RM2 juta.

-- BERNAMA