GEORGE TOWN: Gangguan bekalan air yang dialami kira-kira 37,000 pengguna di kawasan tepi pantai utara di bahagian pulau di sini sejak pukul 10 malam tadi, telah pulih sepenuhnya sekitar pukul 10.45 pagi ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk K.Pathmanathan berkata gangguan bekalan air berjadual (SWSI) yang menjejaskan penghuni, termasuk operasi hotel antarabangsa di kawasan itu, pada mulanya dijadualkan pulih pukul 12 tengah hari ini, namun pihaknya berjaya memulihkanya jauh lebih awal.

Beliau berkata Loji Rawatan Air (LRA) Batu Ferringhi itu dihenti tugas sementara bermula malam tadi bagi membolehkan penggantian injap 900mm yang rosak di loji serta kerja-kerja servis dan penyelenggaraan pencegahan elektrik voltan tinggi.

"Semua kerja semalaman di tapak telah berjaya disiapkan seperti yang dirancang, malah lebih awal daripada jadual, LRA Batu Ferringhi beroperasi semula sepenuhnya dan ia dapat mengeluarkan maksimum 120 juta liter sehari (JLH) air terawat.

"Seterusnya air terawat itu disalurkan ke tujuh kawasan utama yang mengalami SWSI iaitu Bagan Jermal, Batu Ferringhi, Mount Erskine, Tanjung Bungah, Tanjung Pinang, Tanjong Tokong dan Teluk Bahang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pathmanathan memaklumkan pengguna yang masih mengalami masalah bekalan air di kawasan terlibat dinasihatkan untuk menghubungi Pusat Panggilan 24 Jam PBAPP melalui talian 04-255 8 255 dan pihaknya bersedia untuk memberi respons segera untuk semua laporan.

Beliau berkata kerja-kerja air di LRA Batu Ferringhi itu akan membantu memastikan perkhidmatan bekalan air yang berterusan di sepanjang kawasan tepi pantai yang popular di Pulau Pinang pada masa hadapan.

-- BERNAMA