SEREMBAN: Penutupan sementara bekalan air akan dilaksanakan pada 7 Januari bermula 8 pagi hingga 8 pagi (8 Januari) bagi melaksanakan kerja-kerja pemasangan 'stop log guide' dan pemasangan paip.

Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) dalam kenyataan memaklumkan penutupan itu mengakibatkan gangguan bekalan air bagi kawasan Port Dickson dan sebahagian kawasan Seremban.

"Pemasangan 'stop log guide' di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi dan kerja penyambungan paip bersaiz 350 milimeter (mm), 250 mm dan 150 mm di hadapan Masjid Bandar Ekar Rantau, dilaksanakan pada Selasa ini dan beberapa kawasan di Seremban dan Port Dickson akan terjejas," menurut kenyataan itu.

Kawasan terlibat di Port Dickson ialah Escort Estet, Kampung Sawah Sunggala, Bandar Sunggala, kawasan Taman Si Rusa Jaya Batu (BT) 6, Jalan Pantai, seluruh kawasan Batu 5 Jalan Pantai, Kem Askar Batu 5 Jalan Pantai, Kem Askar Batu 4 Jalan Pantai, Kampung Baru Si Rusa, Jalan Sua Betong, Taman Desa Port Dickson, Kampung Barisan, kawasan Air Kuning sehingga kawasan Tampin Linggi, seluruh kampung Bagan Pinang dan sekitar, seluruh Pekan Port Dickson serta kawasan berhampiran.

Seluruh kawasan Rantau termasuk Ulu Lalang, Kampung Solok, Kampung Ribu, Kampung Sega Ulu, Kampung Sega Hilir, Jalan Kuala Sawah, Ladang Kuala Sawah, Kampung Nyatoh, Rumah Rakyat Nyatoh, Pekan Kuala Sawah, Kampung Belangkan dan Industri Nilam Ribu.

Turut mengalami gangguan, Taman Bandar Ekar, Pekan Rantau, Kampung Takau, Kampung Pening, Kampung Kancong, Ladang Kancong, Taman Rantau, Jalan Air Kuning, Taman Permata, Kampung Linsum, Kampung Seliau Hulu, Kampung Seliau Hilir, Ladang Seliau, Taman Cempaka Rantau, Kampung Sungai Sendayan dan kawasan sekitar.

Bekalan air akan mula disalurkan semula setelah kerja di tapak siap sepenuhnya dan tempoh pemulihan bekalan air secara berperingkat namun kawasan tinggi dan penghujung sistem agihan berkemungkinan mengalami tempoh pemulihan lebih lama.

Menurut kenyataan itu, kerja-kerja berkenaan adalah usaha berterusan SAINS dalam menambah baik dan meningkatkan mutu bekalan air demi kepentingan pengguna pada masa hadapan.

Pengguna boleh menghubungi talian 1-300-88-6982 untuk sebarang maklumat lanjut dan bantuan bekalan air bagi kes kecemasan semasa dalam tempoh gangguan. Penghantaran lori tangki dan penempatan tangki statik akan dilaksanakan sekiranya gangguan melebihi 24 jam (selepas tempoh penutupan).

-- BERNAMA