Syarikat berkenaan ialah Dutamesra Bina Sdn Bhd, IDX Multi Resources Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd, Menang Idaman Sdn Bhd, Meranti Budiman Sdn Bhd, Pintas Utama Sdn Bhd, NYL Corporation Sdn Bhd dan Kiara Kilat Sdn Bhd.
Pengarah IDX Multi Resources Sdn Bhd Rahmat Hidayat Mohamed yang mewakili lapan syarikat itu dalam kenyataan hari ini berkata kesemua syarikat terbabit akan memohon penangguhan keputusan sementara menunggu proses rayuan selain akan memfailkan notis rayuan kepada Tribunal Rayuan Persaingan (CAT) dalam masa terdekat.
"Sebelum ini, MyCC telah membuat pengumuman melalui kenyataan media berkaitan cadangan keputusan tersebut pada April 2024. Oleh itu, kesemua syarikat berkenaan telah menghantar permohonan semakan kehakiman pada Mei 2024 di Mahkamah Tinggi di sini dan keputusan semakan kehakiman dijadualkan pada 30 April 2025.
"Bagaimanapun, MyCC telah mengeluarkan kenyataan media berhubung penalti kewangan (keputusan akhir denda) pada 28 Feb 2025 iaitu sebelum keputusan semakan kehakiman," katanya.
Beliau berkata notis rayuan yang dikemukakan kepada CAT adalah berasaskan hujah-hujah yang kuat, antaranya perolehan projek pada 2019 adalah secara tender terbuka melibatkan 200 syarikat iaitu persaingan yang luas.
Rahmat Hidayat berkata kesemua syarikat itu menyifatkan keputusan dan penalti yang dikenakan MyCC sebagai tiada merit dan akan mencabar penemuan MyCC berhubung isu berkenaan bagi mempertahankan reputasi masing-masing selain mendokong integriti.
-- BERNAMA
