Penganalisis politik Dr Chandra Muzaffar menegaskan, perlu ada anjakan daripada politik permusuhan yang menjadi kebiasaan kepada politik kerjasama yang lebih mendamaikan.
Jelas beliau, ia tidak semestinya perlu mencapai satu gabungan tetapi boleh membentuk kerjasama berdasarkan prinsip-prinsip tertentu.
“Kita sudah terlalu biasa dengan sistem kepartian berdasarkan politik adversari atau permusuhan, yang kita harus cuba atasi.
"Ada satu lagi pendekatan yang mungkin lebih serasi dengan tradisi, budaya dan falsafah kita.
“Kita tak semestinya terus terperangkap dalam isu status quo, mengalahkan pihak lain dan sebagainya.
"Apa salahnya sekiranya untuk lima tahun akan datang ini kita jadikan politik muafakat sebagai keutamaan kita,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Pendekatan politik muafakat, kata beliau, pernah dihujahkan Presiden pertama Indonesia, Sukarno untuk menggantikan politik permusuhan dalam menyatukan negara republik itu selepas mencapai kemerdekaannya.
Maka dengan itu, ujar Chandra, tempoh lima tahun itu harus ditumpukan kepada tindakan kerjasama, sehingga tiba Pilihan Raya Umum seterusnya, untuk mungkin kembali kepada cara politik biasa, iaitu beradu mendapatkan mandat baharu rakyat.