KUALA LUMPUR: Pasar Malam Lorong Tuanku Abdul Rahman esok akan ditutup sepenuhnya bagi memberi laluan kepada operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India serta kerja-kerja ujian tanah.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerja-kerja ujian tanah dijalankan sekitar Lorong Tuanku Abdul Rahman dan Masjid India bagi mengenal pasti kedudukan serta keselamatan jalan raya di lokasi kejadian tanah jerlus itu.

"Penutupan adalah perlu untuk memastikan keselamatan peniaga dan orang awam terjamin. Kegagalan untuk mematuhi arahan ini akan mengakibatkan tindakan tegas akan diambil, ke atas peniaga," menurut kenyataan itu.

Menerusi kenyataan berasingan, DBKL memaklumkan operasi SAR yang masuk hari kelapan diteruskan menggunakan alat Ground Penetrating Radar (GPR) dengan pencarian turut dilakukan pada sebelah malam.

"Pada masa sama, pihak Indah Water Konsortium membuat kerja membersihkan halangan dalam saluran paip kumbahan menggunakan kaedah jetting dan rodding," katanya.

Kenyataan itu memaklumkan keadaan di lokasi pencarian adalah terkawal dan orang awam memberikan kerjasama yang baik dengan tidak memasuki kawasan yang telah dipasang tali keselamatan.

Pada 23 Ogos lepas, wanita warga India dikenali sebagai G.Vijaya Lakshmi, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.

-- BERNAMA