KUALA LUMPUR: Tiada diskriminasi terhadap syarikat bukan Bumiputera terutamanya dalam aspek pensijilan halal.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, mana-mana syarikat yang mematuhi manual standard pensijilan halal, mereka layak untuk mendapat sijil halal.

“Sebahagian besar daripada syarikat yang dapat pensijilan halal ini, ia termasuk syarikat bukan Bumiputera dan tidak berbangkit soal diskriminasi walaupun syarikat itu berdepan desakan dan tindakan daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Apa paling penting, mereka perlu ikut apa ditetapkan kerajaan dan kerajaan juga sentiasa ikut kepada pensijilan yang telah ditetapkan.

“Semua rakyat, juga entiti perniagaan bertaraf apa sekalipun, mereka berhak mendapat pensijilan halal,” katanya ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Dewan Rakyat | Tiada diskriminasi dalam pensijilan halal


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Fong Kui Lun (PH - Bukit Bintang) yang mendakwa kerajaan hanya membiarkan NGO Islam ‘menganiayai’ syarikat makanan bukan Bumiputera.

“Memandangkan syarikat makanan bukan Islam sering diprovokasi NGO Islam mengenai logo halal sedangkan syarikat itu ada sijil halal.

“Kerajaan nampaknya biarkan sahaja syarikat makanan bukan Islam dianiayai. Bolehkah kerajaan bantu pertahankan dari serangan ini?” soalnya yang kemudian dijawab Ahmad Marzuk.