KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan panggilan palsu yang bertujuan untuk menipu mangsa.

Tegasnya, PDRM tidak pernah menggunakan panggilan telefon untuk merakam kenyataan saksi atau suspek jenayah, sebaliknya hanya membuat panggilan untuk hadir ke balai polis terdekat sahaja.

"Saya masih dapati kes dimana mereka menerima panggilan telefon daripada penjawat polis daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), mereka gunakan alasan siasatan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA), Akta Dadah Berbahaya, Akta Penyeludupan Senjata Api dan sebagainya.

"Saya pernah buat satu kenyataan berbentuk video klip pihak berkuasa tidak akan sekali-kali menelefon mana-mana orang baik saksi atau suspek.

"Kalau perlu telefon akan memaklumkan untuk ke pejabat untuk berikan kerjasama hanya untuk menentukan dimana mereka pergi berjumpa dengan siapa dan di mana. Tidak ada panggilan telefon bertanyakan keterangan, minta nombor akaun atau nombor pin dan sebagainya," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Buku Jenayah Siber di Malaysia di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Selasa.

Tambah Acryl Sani lagi, PDRM juga tidak menggunakan panggilan telefon kepada individu untuk meminta bayaran dibuat dan sebagainya. 

"Telefon juga tidak digunakan mana-mana pihak berkuasa untuk membuat bayaran secara online pihak tertentu, bayaran online banking ada kaedahnya seperti kepada PBT dan sebagainya.

"Jadi jangan panik orang awam, saya harap kepada pihak media kita sebar luaskan perkara ini. Jadi kita sama-sama ingat mengingati," katanya lagi.


Sukar dikesan

Dalam pada itu, Acryl Sani mengakui bahawa penjenayah siber ketika ini licik dan berselindung di sebalik teknologi daripada dikesan pihak berkuasa.

Rata-rata kes yang dilaporkan kepada PDRM didapati terlalu lewat sehingga menyukarkan penjenayah itu dikesan.

"Memang orang tanya dengan saya, boleh ke kita kesan scam ini, kerana mereka berselindung di sebalik teknologi. Dalam keadaan sekarang memang agak sukar untuk pihak berkuasa mengesan kerana kebanyakan kes selepas kena scam, mereka akan buat laporan seminggu atau pun sebulan selepas mereka sedar mereka telah ditipu.

"Pada ketika itu segala jejak telah hilang, duit yang telah dipindahkan dalam akaun tertentu telah dikeluarkan," jelasnya lagi.

Mengulas lanjut berhubung taktik licik penipuan dalam talian di negara ini, jelas Acryl Sani lagi, orang ramai perlu menggunakan platform 'Semak Mule' PDRM terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

"Kebanyakan akaun-akaun ini menggunakan akaun keldai, dan apabila ada pembelian secara dalam talian, kita ada semak mule account.

"Sebelum kita transfer, kita semak akaun dalam sistem telah dilancarkan tempoh hari memastikan akaun tersebut bukan mule account," katanya lagi.